Lima Buah Negeri Terjejas Banjir… Ahmad Zahid Seru Rakyat Utamakan Keselamatan

KUALA LUMPUR, 27 Nov – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru rakyat yang berada di kawasan berisiko banjir untuk mengutamakan keselamatan dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

Beliau yang juga Presiden UMNO menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan bahawa terdapat lima buah negeri telah terjejas akibat banjir setakat jam 8.00 pagi tadi.

“Saya telah menerima laporan mengenai situasi banjir semasa melalui Laporan Bencana Nasional daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Setakat jam 8.00 pagi tadi, lima buah negeri telah terjejas akibat banjir, melibatkan seramai 1,346 mangsa daripada 399 keluarga yang kini ditempatkan di 46 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lapan daerah di Kelantan, dua di Terengganu, dan masing-masing satu di Pahang, Johor, dan Perak,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) telah mengeluarkan amaran hujan berterusan yang berkemungkinan akan membawa risiko lebih besar.

“Amaran hujan berterusan dikeluarkan oleh MET Malaysia juga menunjukkan keadaan cuaca yang berpotensi membawa risiko lebih besar terutamanya di kawasan dalam kategori bahaya, buruk dan waspada. Hujan lebat dijangka berlarutan sehingga 29 November 2024 dan ini memerlukan kita semua lebih bersedia serta berwaspada.

“Kepada semua mangsa yang terjejas, saya mendoakan agar anda terus tabah menghadapi ujian ini dan semoga segala urusan dipermudahkan. Untuk mereka yang berada di kawasan berisiko, utamakan keselamatan dan patuhi arahan pihak berkuasa. Jangan ambil risiko yang boleh membahayakan nyawa, terutamanya dalam situasi tidak menentu ini.

“Untuk perkembangan terkini dan maklumat sahih mengenai keadaan cuaca, layari laman web rasmi dan media sosial MET Malaysia atau melalui aplikasi myCuaca,” katanya lagi. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit