Kerajaan Sentiasa Ambil Berat Keselamatan Perairan Negara – Mohamad Alamin
KUALA LUMPUR, 27 Nov – Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata Kerajaan sentiasa mengambil berat keselamatan perairan negara di Laut China Selatan termasuk di kawasan Beting Patinggi Ali.
Malah menurut beliau kerajaan sentiasa memantau rapat sebarang perkembangan dan situasi semasa di kawasan dengan keterlibatan dan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan isu tersebut ditangani dengan segera dan efisien tanpa menimbulkan sebarang ketegangan.
“Kerajaan Malaysia menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sentiasa memberikan perhatian serius terhadap keselamatan di kawasan perairan negara.
“Tindakan-tindakan yang diambil termasuklah rondaan, pengawasan, pemantauan dan penguatkuasaan di dalam kawasan maritim Malaysia bagi mempamerkan kehadiran, atau dengan izin, show of presence di kawasan tersebut. Semua agensi penguatkuasa dan pemantauan maritim di negara amat komited dalam memastikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan Malaysia adalah kekal terpelihara,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Parlimen di sini, hari ini.
Terdahulu Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr. Shahidan Kasim meminta Menteri Luar Negeri menyatakan perancangan Kerajaan dalam mempertahankan pencerobohan terhadap Beting Patinggi Ali yang berlaku sejak 2013 dan apakah langkah alternatif yang wajar dilaksanakan memandangkan pendekatan mengawal kapal pengawal pantai China tidak memberi impak malahan rundingan nota diplomatik juga tidak berkesan kerana China tidak mengiktiraf UNCLOS.
Mohamad Alamin seterusnya menambah Kerajaan juga melaksanakan pendekatan, “whole of government” untuk menyelaras tindakan-tindakan yang diambil oleh Kerajaan untuk menjamin kedaulatan dan keselamatan perairan Malaysia.
Tambah beliau lagi setiap agensi kerajaan memainkan peranan masing-masing untuk memastikan kepentingan negara sentiasa dipertahankan malah pelaksanaan rondaan berkala dan operasi oleh pasukan keselamatan negara bertujuan bagi memastikan keselamatan aktiviti-aktiviti ekonomi negara seperti aktiviti eksplorasi serta eksploitasi hidrokarbon di kawasan tersebut sentiasa terpelihara sepanjang masa di samping mempertahankan kedaulatan negara.
“Berkaitan dengan insiden pencerobohan kapal-kapal milik kerajaan negara asing di kawasan maritim Malaysia, Kementerian Luar Negeri secara konsisten telah dan akan mengemukakan Nota Bantahan kepada negara-negara yang berkenaan, sekiranya kapal dan aset-aset milik Kerajaan negara-negara tersebut didapati menceroboh perairan negara.
“Ini adalah selari dengan pendirian tegas negara dalam memastikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara akan terus kekal terpelihara. 8. Hal ini juga selaras dengan pendirian tegas negara yang mana semua pihak perlu mengelak tindakan yang boleh menimbulkan ketegangan dan bersifat provokatif, dan mengamalkan pendekatan dengan izin, self–restraint.
“Kerajaan juga sentiasa menegaskan pendirian Malaysia dalam setiap pertemuan dengan negara-negara luar di pelbagai peringkat, termasuklah di peringkat pemimpin negara hinggalah di peringkat kumpulan kerja.Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025 dan Negara Penyelaras hubungan dialog ASEAN-China dari Ogos 2024 hingga Julai 2027, Malaysia kekal komited untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan Laut China Selatan secara konstruktif, dengan menggunakan forum dan saluran diplomatik yang sesuai.
“Kementerian Luar Negeri akan terus menyuarakan pendirian tegas Malaysia berhubung isu Laut China Selatan di platform-platform yang berkaitan bagi memastikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara akan terus kekal terpelihara,” ujarnya.- UMNO Online