Dr Akmal Sahut Seruan, Senaraikan Pencapaian Tiga Tahun Sebagai Exco Negeri Melaka

KUALA LUMPUR, 27 Nov – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyahut seruan segelintir pihak yang mahu mengetahui khidmatnya kepada rakyat Melaka sepanjang tiga tahun selepas dilantik sebagai exco kerajaan negeri itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau itu yang ketika ini memegang portfolio kemajuan desa, pertanian dan keterjaminan makanan negeri berkata beliau telah melaksanakan pelbagai polisi dalam mengangkat sumber pertanian negeri dengan pelaksanaan beberapa inisiatif.

Menurut beliau antaranya menjadikan Melaka sebagai negeri pertama yang mempunyai ladang benih padi sendiri untuk kegunaan pesawah di dalam negeri itu.

“Selain itu, masalah pengairan sawah di Bukit Rambai selesai setelah tertangguh beberapa tahun lamanya. Masalah tanah Orang Asli selesai setelah beberapa tahun lamanya.

“Skim perumahan nelayan di Kuala Linggi selesai setelah beberapa tahun lamanya, Melaka mempunyai program melon to million yang memberi latihan kepada pertanian secara percuma serta Melaka mendapat satu lagi taman kekal pengeluaran makanan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang sebelum ini memegang portfolio kesihatan dan antidadah negeri turut berkongsi polisi yang diperkenalkannya dengan menjadikan Melaka menjadi negeri pertama menyediakan perkhidmatan close care to u, yang perkhidmatan penjagaan luka dan tukar tiub makanan di rumah secara percuma untuk rakyat B40 yang terlantar sakit.

Menurut beliau, negeri tersebut juga yang pertama menawarkan ambulans percuma kepada golongan B40 untuk membawa pesakit ke rawatan susulan di hospital dalam dan luar negeri Melaka.

“Selain itu, telah mempunyai polisi yang mewajibkan setiap pusat tumpuan orang ramai mesti menyediakan AED semasa saya menjadi exco kesihatan serta Melaka negeri pertama yang akan mempunyai sukarelawan perubatan di setiap kampung yang dikenali sebagai paramedik komuniti

“Melaka antara negeri yang menyediakan saringan perkhidmatan kesihatan secara percuma di klinik swasta dan dilakukan ketika saya menjadi exco,” ujar beliau. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit