Pastikan UMNO Terus Relevan… Teruskan Perjuangan Ikhlas, Jujur, Amanah – Muszaidi

PENGERANG, 26 Nov – Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi, Muszaidi Makmor mengingatkan ahli dan para pemimpin untuk meneruskan perjuangan yang ikhlas, jujur dan amanah demi memastikan parti terus relevan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili berkata, para penyokong khususnya ahli parti masih mengharapkan agar UMNO/Barisan Nasional (BN) kembali menjadi sebuah kerajaan yang dominan.

“Pemimpin di peringkat bahagian dan DUN yang bersama kita pada hari ini sememangnya ingin memastikan UMNO terus berada di persada politik negara serta menjadi kerajaan dominan selepas ini.

“Sebenarnya, kita masih lagi mengharapkan UMNO/BN ini akan mempelopori kerajaan semula. Ini kerana hampir dua penggal kita hanya menumpang kasih kepada parti lain yang menang pada pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan sempena program Jelajah Penerangan UMNO, di sini, pada Sabtu.

Menurutnya, semua jentera perlu bekerja keras untuk memastikan bahawa dua kerusi parlimen di Johor iaitu Pengerang dan Kota Tinggi akan terus kekal sebagai kubu kuat parti.

“Bahagian Kota Tinggi dan Pengerang telah menyumbangkan ‘seat’ kepada BN dan Insya-Allah akan kekal. Saya yakin dengan kepimpinan di ketiga-tiga bahagian ini sama-sama memainkan peranan untuk memastikan bahawa rakyat yang menyokong kita selama ini tidak dipinggirkan.

“Kita akan mengekalkan tradisi untuk memastikan DUN dan parlimen yang ada di dua bahagian ini masih kekal sebagai kubu kuat UMNO/BN. Teruskanlah perjuangan yang ikhlas, jujur dan amanah untuk memastikan UMNO terus berada serta relevan dalam arena politik tanah air,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak tiga bahagian dihimpunkan untuk Jelajah Penerangan UMNO pada kali ini iaitu Pengerang, Kota Tinggi dan Pasir Gudang.

Lebih 300 orang pemimpin di peringkat bahagian tersebut telah hadir untuk mempelajari pelbagai teknik bagi menghadapi pilihan raya akan datang termasuklah penguasaan media sosial dan kecerdasan bulatan (AI).

Turut hadir, Naib Presiden UMNO merangkap Ketua Bahagian Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Ketua Penerangan UMNO Malaysia merangkap Ketua UMNO Bahagian Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, Noor Azleen Ambros dan para pemimpin empat peringkat dari setiap bahagian terlibat. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit