Insfrastruktur Bomba Libaran Wajar Jadi Keutamaan – Suhaimi Nasir

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir mencadangkan pembinaan balai bomba di Libaran agar dapat dimasukkan di bawah senarai keutamaan Negeri Sabah bagi tahun 2025.

Menurut beliau, daerah Sandakan adalah salah satu daerah yang besar dan terdapat tiga Parlimen di bawah daerah ini iaitu Libaran, Sandakan dan juga Batu Sapi.

Namun begitu kata Ketua UMNO Bahagian Libaran ini, terdapat hanya sebuah balai bomba yang beroperasi untuk mengawal selia tiga Parlimen tersebut iaitu Sandakan Fire & Rescue Station.

“Pembinaan bangunan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Sabah, sebanyak RM5.695 juta telah diperuntukan bagi tahun 2025.

“Peruntukan di bawah butiran ini dapat ditambah bagi menyediakan sebuah balai bomba yang baru di kawasan Libaran demi memastikan kesejahteraan penduduk terjamin.

“Balai Bomba yang baharu ini amat diperlukan bagi menampung operasi Sandakan Fire & Rescue Station seterusnya meringankan beban mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika perbahasan peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan(KPKT), di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut Suhaimi yang juga Ketua Penerangan UMNO Negeri Sabah menghargai akan jasa dan tenaga yang dicurahkan oleh kakitangan anggota bomba di Malaysia.

Jelasnya, walaupun kerajaan telah melaksanakan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), namun masih terdapat elaun-elaun khususnya bagi anggota bomba perlu dikaji memandangkan elaun-elaun tersebut tidak pernah ditambahbaik sejak sekian lama.

“Bayaran elaun seperti bayaran insentif bomba pada kadar RM110 bagi 12 jam tidak lagi relevan dan ianya perlu dikaji semula dan dinaikkan sesuai dengan keadaan semasa.

“Elaun perkhidmatan bomba pada kadar RM200 serta elaun Operasi Hazmat pada kadar RM30 bagi setiap operasi adalah amat tidak lagi sesuai memandangkan mereka ini terdedah kepada risiko kecederaan, kecacatan kekal dan kematian tinggi.

“Selain daripada itu, difahamkan bahawa hal ehwal seperti tuntutan bagi cuti ganti kepada anggota yang telah bertugas lebih daripada 12 jam serta gantian kepada cuti am tidak lagi diberikan kepada anggota bomba,” katanya lagi.

Tambah beliau lagi, perkara sebegini adalah tidak wajar dan tidak seharusnya diteruskan memandangkan mereka ini perlu mendapatkan rehat ataupun ganti yang sewajarnya dalam memastikan mereka berada pada kondisi yang optimum untuk menjalankan tugasan.

“Kerajaan memerlukan perbelanjaan yang mampan dan efektif tetapi jangan sampai kebajikan anggota-anggota keselamatan dikorbankan.

“Kebajikan anggota bomba ini dapat diperhalusi dan ditambah baik sejajar dengan tugas dan risiko hadapi setiap kali beroperasi. – UMNO Online

[the-post-grid id="151977" title="post"]
@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.