Kerajaan Negeri Sembilan Terus Fokus Bangunkan Kawasan Luar Bandar – Jalaluddin

SEREMBAN, 26 Nov – Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata Kerajaan Negeri sentiasa memberikan fokus dan tumpuan dalam usaha membangunkan kawasan luar bandar di  negeri tersebut dan buat masa ini, lebih kurang 77 peratus keluasan Negeri Sembilan adalah di bawah kategori luar bandar.

Jelas beliau pada sesi soal jawab lisan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini, kawasan berkenaan merangkumi lima daerah iaitu Jelebu, Kuala Pilah, Jempol, Rembau dan Tampin serta sebahagian kawasan di daerah Seremban dan Port Dickson.

“Dengan jumlah keluasan kawasan luar bandar yang melebihi separuh daripada keluasan keseluruhan Negeri Sembilan, sudah pasti terdapat keperluan untuk meneroka peluang-peluang yang wujud di kawasan luar bandar agar perancangan pembangunan dapat dilaksanakan secara mampan dengan mengoptimumkan sumber sedia ada.

“Hala tuju Kerajaan Negeri secara umumnya adalah mengurangkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar serta mempercepatkan pembangunan infrastruktur yang lebih inklusif di kawasan luar bandar.

“Ianya dapat dicapai dengan pelaksaaan empat bidang fokus yang digariskan dalam Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan 2021–2025 seperti berikut iaitu pembangunan ekonomi berdaya maju, penambahbaikan penyediaan infrastruktur luar bandar, peningkatan keupayaan komuniti luar bandar dan pengukuhan kesejahteraan komuniti luar bandar,” katanya.

Katanya lagi, selain daripada RPNS 2021-2025, Rancangan Struktur Negeri dan Rancangan Tempatan Daerah turut menggariskan hala tuju pembangunan kawasan luar bandar secara perspektif makro.

“Melalui rancangan tempatan di setiap daerah pula telah menyenaraikan projek-projek pembangunan bagi menyuntik aktiviti ekonomi luar bandar yang memfokuskan kepada aktiviti pertanian dimana Pembangunan agropolis melibatkan empat daerah iaitu Jempol, Rembau, Tampin dan Kuala Pilah, seterusnya pembangunan biodiversiti pula difokuskan kepada daerah Jelebu,” tambahnya.

Sementara itu berhubung langkah yang diambil untuk mengatasi masalah migrasi dari luar bandar ke bandar, Jalalauddin seterusnya memaklumkan antara langkah yang telah dan akan diambil Kerajaan adalah sepertimana perancangan.

“Antaranya meningkatkan daya huni kawasan luar bandar supaya ianya harus dilihat relevan untuk didiami oleh golongan produktif terutamanya golongan belia, melaksanakan program perluasan ampung di mana program ini merupakan usaha Kerajaan Negeri dalam mempromosikan penduduk ke kawasan luar bandar.

“Seterusnya penyediaan infrastruktur di kawasan luar bandar seperti penyediaan jaringan jalan raya yang baik untuk memastikan ketersambungan perhubungan antara kawasan luar bandar dan bandar serta pewujudan peluang pekerjaan yang lebih baik dan mampu menawarkan pendapatan yang lebih tinggi dengan menarik pelaburan berskala besar,” ujarnya. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit