Kempen EVAW Galak Solidariti Global, Tangani Keganasan Terhadap Wanita – Noraini

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Kempen Menangani Keganasan Terhadap Wanita (EVAW) mampu menggalakkan solidariti global untuk menangani isu tersebut dengan kerjasama pelbagai pihak.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan bahawa kempen tersebut telah dirasmikan oleh Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Dr Johari Abdul.

“Keganasan terhadap wanita adalah masalah yang melanda semua lapisan masyarakat dan berlaku di setiap negara, tanpa mengira latar belakang budaya, ekonomi atau sosial.

“Hari ini saya pakai baju berwarna oren. Ramai juga rakan-rakan di Parlimen yang turut sama-sama bersolidariti dengan memakai baju berwarna oren sebagai tanda memberi sokongan terhadap kempen yang dijalankan oleh Jabatan Pembangunan Wanita – JPW dan United Nations Population Fund (UNFPA) Malaysia ini.

“Kempen ini telah dirasmikan oleh Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Dr Johari Abdul,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO menegaskan bahawa masyarakat tidak boleh berdiam diri sekiranya melihat keganasan terhadap wanita berlaku dan perlu menjadi suara kepada mereka yang tidak berdaya.

“Kempen EVAW ini menggalakkan solidariti global untuk menangani isu ini dengan kerjasama antara negara, organisasi antarabangsa dan badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak wanita.

“Hari ini, marilah kita untuk tidak berdiam diri apabila melihat keganasan berlaku. Marilah kita menjadi suara untuk mereka yang tidak berdaya, memberikan sokongan kepada mereka yang memerlukan dan bertindak untuk menghentikan keganasan terhadap wanita,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut menyeru orang ramai untuk menzahirkan sokongan dengan melaporkan sebarang bentuk keganasan menerusi Talian Kasih.

“Zahirkan sokongan anda! Dengan sokongan anda semua, kita boleh mencipta dunia yang lebih selamat dan adil untuk wanita. Hentikan keganasan terhadap wanita, sekarang dan selamanya.

“Jika berlaku sebarang bentuk keganasan, jangan takut untuk melaporkan kepada pihak polis, atau hubungi Talian Kasih (15999 / WhatsApp 019-2615999) yang beroperasi 24/7,” katanya lagi. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit