PRN Sabah: Bung Moktar Ingatkan Jentera Terus Laksana Persiapan Untuk Raih Kemenangan

KINABATANGAN, 25 Nov – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengingatkan anggota parti untuk terus melaksanakan persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, tidak lama lagi.

Katanya, tidak ada jalan mudah dalam perjuangan namun UMNO/Barisan Nasional (BN) Sabah tetap yakin untuk melepasi pelbagai halangan.

“Dalam PRN17 akan datang UMNO/BN hanya memilih untuk menang dan mengembalikan kegemilangan rakyat serta Negeri Sabah. Persiapkan semua kekuatan jentera BN di seluruh kawasan di Negeri Sabah.

“Ingat, tidak ada jalan mudah dalam perjuangan, sebab perjuangan kita penuh dengan dugaan, cabaran serta rintangan, namun UMNO/BN telah melalui berbagai-bagai cabaran dan kita telah banyak kali melepasinya,” katanya.

Justeru tegas Bung Moktar, jika hendak menang maka perlu melaksanakan gerak kerja seperti mahu menang.

Terdahulu beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag telah mengadakan Program Jelajah Santunan Kasih Komuniti di DUN terbabit pada Sabtu.

“Alhamdulillah program berjalan dengan baik. Saya cukup yakin pengundi DUN Lamag tahu yang mana kaca dan mana permata. UMNO/BN telah berjuang bersama rakyat Kinabatangan dan tidak terkecuali DUN Lamag.

“Insya-Allah bubar saja DUN maka jentera-jentera BN akan bertaburan di DUN Lamag-Sukau-Kuamut,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit