KKR Pantau Tahap Kecekapan RFID, Pastikan Kutipan Tol Berjalan Lancar – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 25 Nov – Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan kementerian bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi lebuh raya sentiasa memastikan tahap kecekapan yang tinggi dalam pelaksanaan sistem kutipan tol secara radio frequency identification (RFID).

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata ia bagi memastikan kutipan tol berjalan dengan lancar.

“Walaupun begitu beberapa isu telah dikenalpasti melibatkan aspek teknikal dan operasi dalam pelaksanaan kutipan tol melalui teknologi RFID.

“Bagi isu teknikal syarikat konsesi lebuh raya telah melaksanakan kerja-kerja penalaan dengan lebih kerap di lorong-lorong RFID,” katanya.

Ahmad Maslan berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) yang bertanya usaha bagi menyelesaikan ketidakcekapan sistem RFID di lebuh raya sehingga menyusahkan pengguna.

Sementara itu beliau berkata bagi isu operasi, syarikat konsesi lebuh raya sentiasa membuat hebahan kesedaran kepada pengguna agar mempunyai baki e-wallet yang mencukupi sebelum melalui pelaksanaan tol bagi melancarkan proses pembayaran tol.

Katanya lagi, dengan pelaksanaan usaha-usaha ini ia dapat mempertingkatkan prestasi dan kecekapan sistem RFID.

“Keperluan penambahan lorong RFID di setiap plaza tol juga dipantau dari semasa ke semasa melalui threshold yang telah ditetapkan. Sehingga kini sebanyak 580 daripada 2,348 lorong tol atau 24 peratus menggunakan RFID,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, beliau berkata cadangan pelaksanaan Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) merupakan salah satu inisiatif kementerian untuk menambah baik sistem kutipan tol.

“Satu lagi adalah Sistem Pembayaran Tol Terbuka (SPT) juga sedang dilaksanakan mengguna pakai kad kredit, kad debit dan kad prepaid di 13 lebuhraya melibatkan 32 plaza tol di 89 lorong. Sistem ini akan ditambah lagi penggunaannya dari semasa ke semasa,” katanya lagi. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit