Kerjasama Malaysia-Bin Zayed International: Galakkan Pemindahan Teknologi, Cipta Peluang Ekonomi

KUALA LUMPUR, 25 Nov – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin bahawa kerjasama dengan Bin Zayed International dapat menggalakkan pemindahan teknologi dan mencipta peluang ekonomi yang lebih luas untuk rakyat Malaysia.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Presiden UMNO telah bertemu dengan Pengasas dan Pengerusi Bin Zayed International, Yang Mulia Sheikh Khaled Zayed Saquer Zayed Al Nahyan pada Isnin.

“Saya telah mengadakan pertemuan bersama Yang Mulia Sheikh Khaled Zayed Saquer Zayed Al Nahyan, seorang tokoh korporat yang baru sahaja merasmikan Bin Zayed International (M) Berhad di Kuala Lumpur.

“Beliau yang juga merupakan Pengasas dan Pengerusi Bin Zayed International telah membuka sebuah lembaran baharu dalam hubungan strategik antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang dapat menyokong Malaysia dalam menjadi hab perniagaan utama di Asia Tenggara.

“Sepanjang perbincangan, saya turut berkongsi pengalaman semasa kunjungan saya ke UAE baru-baru ini dan meneliti peluang pelaburan yang mampu memberi manfaat bersama,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan bahawa pertemuan tersebut telah membuktikan bahawa Malaysia terus menjadi destinasi pilihan para pelabur antarabangsa.

“Dengan kepakaran dan inovasi yang dibawa oleh Bin Zayed International khususnya dalam bidang hartanah, teknologi dan kesihatan – saya yakin kerjasama ini akan menggalakkan pemindahan teknologi, pembangunan mampan dan memperkasakan industri tempatan, sekali gus dapat mencipta peluang ekonomi yang lebih luas untuk rakyat Malaysia.

“Inilah langkah ke hadapan yang membuktikan bahawa Malaysia terus menjadi destinasi pilihan pelabur antarabangsa. Saya komited untuk memastikan setiap peluang ini dimanfaatkan sepenuhnya demi kebaikan rakyat dan negara kita. Insya-Allah,” katanya. – UMNO Online

[the-post-grid id="151977" title="post"]
@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.