Sayap UMNO Tekankan Kepentingan Perkukuh Kerajaan Perpaduan Demi Kestabilan Negara

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Kepentingan memperkukuh Kerajaan Perpaduan yang dibentuk melalui kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan kestabilan negara adalah antara isu dilontarkan oleh ketua Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO hari ini.

Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mahu anggota sayap itu berlapang dada menerima UMNO untuk berada dalam Kerajaan Perpaduan kerana parti itu mempunyai peranan dan tanggungjawab dalam memastikan kestabilan politik, ekonomi dan sosial di negara ini.

Katanya, malah UMNO juga perlu bermuafakat dan berkompromi dalam memastikan kemenangan berpihak kepada Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang walaupun perkara itu sukar dilakukan memandangkan UMNO dan sebahagian parti dalam Kerajaan Perpaduan sudah lama berseteru.

“Ingatlah, kita bukan lagi sebuah parti dominan, kita tidak akan bertanding semua kerusi. Kita perlu bermuafakat, kita perlu berkompromi demi membawa kemenangan kepada Kerajaan Perpaduan yang kita dukung bersama.

“Seperti mana semua sedia maklum, kita bukan sahaja perlu memastikan kemenangan Barisan Nasional tetapi juga membantu rakan-rakan parti dalam gabungan kerajaan memenangi kerusi masing-masing sepertimana kita mengharapkan sokongan yang sama daripada mereka,” katanya dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO 2023 di sini hari ini.

Justeru, Noraini menyeru seluruh jentera dan ahli Wanita UMNO membulatkan tekad baharu dan mengetepikan kekecewaan dan kesedihan yang lalu untuk menggalas tanggungjawab besar dan mengorak langkah ke hadapan.

“Dengan pengalaman yang cukup luas. Apa yang kita perlu, kita perlu sama-sama bangkit berjuang dan sama-sama membuktikan bahawa peranan Wanita UMNO dalam menggerakkan jentera pilihan raya, bakal memberikan impak dan sekali gus memberikan kemenangan dalam PRN yang bakal tiba nanti,” katanya dalam majlis yang turut dihadiri Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital.

Sementara itu Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Dr Akmal Saleh dalam ucapan dasarnya berkata penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan adalah sebagai mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah demi mewujudkan kestabilan di negara ini.

Akmal berkata walaupun UMNO berkongsi ruang pentadbiran dalam kerajaan hari ini, namun ia tidak bermakna parti itu akan mengabaikan prinsip perjuangannya selama ini untuk membela bangsa, agama dan mempertahankan institusi raja-raja.

Di dalam ucapannya Akmal turut menegaskan bahawa UMNO sebagai parti teras orang Melayu sudah tidak mampu lagi untuk berpecah dan meminta ahli parti itu supaya memujuk dan merapatkan kembali silaturahim dengan bekas-bekas ahli UMNO yang telah meninggalkan parti itu.

“Jangan kita sindir-sindir ahli parti kita yang di luar. Mereka juga mempunyai jasa kepada parti ini. Tugas kita adalah ambil mereka kembali duduk dalam UMNO, bantu UMNO, (dan) rapatkan saf kita….Kita tak mampu berpecah, tugas pemimpin adalah untuk merapatkan bukan untuk merenggangkan,” katanya.

Selain itu Akmal berkata Pemuda UMNO akan memberi perhatian serius kepada isu pemilikan rumah yang menjadi antara cabaran kepada golongan muda dan bagi tujuan itu sebuah Jawatankuasa Khas Perumahan Orang Muda akan ditubuhkan di bawah sayap Pemuda UMNO.

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi pula dalam ucapan dasarnya berkata PRN yang bakal berlangsung di enam negeri nanti akan menjadi permulaan kepada gerak kerja baharu sayap berkenaan.

Katanya, Puteri UMNO sebagai sayap yang paling bongsu dalam parti itu akan memberi keutamaan kepada usaha mendekati anak muda berusia 18 hingga 40 tahun dan juga pengundi kali pertama.

“Fokus kepada 3P (perpaduan, perhebat, perkemas) sebagai hala tuju dan 3S (santun, selaras, sebar) sebagai gerak kerja kita dan anak muda fokus kita, terus jalankan peranan sebagai pemimpin muda.

“Jangan mudah hilang fokus dengan isu atau perkara yang remeh-temeh. Tumpu usaha untuk tarik golongan muda bersama kita, kerana Puteri perlu barisan pelapis yang subur dengan idea baharu,” katanya.

Menyentuh Kerajaan Perpaduan, Nurul Amal berkata ahli Puteri perlu meluaskan perspektif atau sudut pandang mereka berkait kerajaan ketika ini yang dianggotai oleh BN dan PH kerana ia adalah teras kepada kestabilan politik, kepentingan rakyat dan bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong. – BERNAMA


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit