Pindaan Perlembagaan UMNO Bolehkan Permohonan Keahlian Dibuat Dalam Talian – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Permohonan pendaftaran keahlian baharu UMNO boleh dilakukan secara dalam talian apabila pindaan perlembagaan parti berhubung perkara itu diluluskan Perhimpunan Agung Khas UMNO yang dijadual berlangsung esok.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perhimpunan khas yang diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023 itu akan meminda fasal membabitkan keahlian parti.

“Yang akan dipinda adalah fasal-fasal mengenai permohonan keahlian. Terdapat satu fasal untuk permohonan boleh dibuat secara dalam talian. Apa yang akan dibentangkan dalam perhimpunan agung luar biasa (khas) adalah meminda fasal itu untuk dijadikan peraturan.

“Jadi apabila ia menjadi peraturan, ertinya Majlis Tertinggi mempunyai kuasa untuk meminda peraturan-peraturan dari segi permohonan keahlian. Kami permudahkan walaupun selama ini kami telah pun ada permohonan keahlian dalam talian, tapi kami akan mengimprovisasi kaedah permohonan dan kelulusannya,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Laman Media, sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023 di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merasmikan pavilion kementeriannya selain meluangkan masa meninjau beberapa reruai agensi di bawah kementerian itu di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini. – BERNAMA


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit