Rundingan BN-PH Kedah Gambaran ‘Perpaduan’ Sebenar – Shaiful Hazizy

KUALA LUMPUR,  6 Jun – Setelah sepakat bakal memuktamadkan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi PRN Kedah, Barisan Nasional (BN) dan PH negeri itu siap sedia mengerakkan jentera menghadapi PRN dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata adalah penting fokus jentera bekerjasama antara parti bagi memastikan kelancaran gerak kerja, ketepikan soal remeh-temeh dan fokus ‘kalih’ kerajaan negeri.

“Saya suka menyatakan rundingan pembahagian kerusi berjalan dengan baik namun jangan ada pihak yang berunding mempunyai niat tersembunyi.

“Rundingan dengan sebuah parti sebelum ini pernah gagal kerana pihak yang berunding dengan UMNO itu terlalu sarat dengan agenda jahat, muslihat licik dan ingin memusnahkan UMNO dalam diam,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Kata beliau lagi adalah penting untuk semua pihak ambil kira kesan yang ditonjolkan terhadap agenda besar Kerajaan Perpaduan melalui pembahagian kerusi, dan perlulah jelas memberi imej ikhlas dan adil.

Pada PRN kali ini tambah beliau, rakyat berpeluang untuk memilih sebuah kerajaan negeri yang selari dengan kerajaan pusat untuk membawa pembangunan dan pelaburan balik ke negeri Kedah.

“Pada hemat saya, apalah gunanya jika Kedah hanya mempunyai kerajaan negeri yang hanya bijak ‘sembang deraih’ dan bersikap samseng suka ‘cari gaduh’, sedangkan banyak masalah rakyat tidak dapat diselesaikan secara tuntas.

“Malah kerajaan negeri hari ini hanya mampu meneruskan dasar usaha yang digagaskan kerajaan sebelum ini dengan tindakan ‘rebranding’ dan ‘claim credit’, bukan idea asal PN Kedah yang tulen.

“Berdasarkan jalinan perpaduan erat, keikhlasan, kesefahaman, usaha nekad, keharmonian kepimpinan serta akar umbi, saya yakin rakyat Kedah akan rasional menyedari kesungguhan kami dan memastikan negeri Kedah kembali diterajui Kerajaan Perpaduan BN-PH pada PRN ke-15 kali ini, insha-Allah,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.