Noh Sepentas Dengan PN, Bila Tak Berjawatan Cukup Senang Utarakan Dusta – Sharif Musa

KUALA LUMPUR, 6 Jun – Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul membidas bekas ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar dan menyifatkannya sebagai manusia tidak mengenang budi.

Katanya ini kerana prinsip pemimpin itu sudah berubah apabila berada sepentas dengan Perikatan Nasional (PN).

“Hari ini Noh bukan main lagi berdiri di pentas lawan. Memang benar kata orang di luar sana, bila tak berjawatan, cukup senang mengutarakan dusta.

“Namun sewaktu dia berjawatan di dalam UMNO, prinsipnya cukup berbeza.

“Cukup jelas dari gerakan Noh dan ucapannya untuk rakyat menilai siapa Noh yang sebenarnya. Adakah beliau seorang pejuang atau patualang?” soal beliau menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau dalam pada itu turut berharap rakyat di Tanjong Karang menolak sekeras-kerasnya manusia hipokrasi seperti itu yang mengejar takhta.

“Semua ahli politik tahu dan pernah mendengar ungkapan Noh pada 4 November 2022 di Comand Centre BN Tanjong Karang. Katanya “Saya orang parti, takkan lah parti yang berjasa dengan saya nak lawan pula. Saya masih setia dengan BN dan saya akan teruskan parti saya.

“Katanya lagi: Meskipun nama Noh Omar digugurkan daripada senarai calon Parlimen Barisan Nasional (BN) Selangor, namun saya tidak akan mengikut jejak langkah segelintir pemimpin UMNO yang kecewa dan bertindak berpaling tadah

“Inilah yang dikatakan politik caca merba. Apakah kebencian Noh Omar mencukupi dan memadai untuk rakyat Tanjung Karang mempercayai beliau?” ujar beliau.

Terdahulu, Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada Januari lalu memecat keahlian Noh selepas beliau mencabar Presiden UMNO supaya memecat keahliannya terus daripada parti, berbanding keputusan MKT untuk menggantung keahliannya selama enam tahun.

Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, berkata keputusan menggantung keahlian Noh disebabkan 16 pertuduhan dihadapi bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu kerana mensabotaj parti pada PRU15. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.