Jeffery Gesa Pemimpin UMNO Manfaatkan Koperasi Bantu Golongan B40

PUTATAN, 5 Jun – Gerakan koperasi boleh memainkan peranan besar dalam membantu golongan isi rumah B40 bagi menangani peningkatan kos sara hidup, malah disifatkan sebagai satu model keusahawanan sosial yang tidak menjadikan keuntungan sebagai matlamat utama sebaliknya memberi manfaat kesejahteraan kepada ahli dan masyarakat secara amnya.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed, pemimpin UMNO perlu aplikasi peranan yang telah dimainkan koperasi kerana ia penting terutama dalam peningkatan membantu kos sara hidup yang mendadak masa kini.

Menurut beliau koperasi juga membantu kerajaan melaksanakan pelbagai program untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal mapan serta pengagihan kekayaan dapat dibuat secara telus, adil dan saksama.

“Kesedaran dan minat menyertai koperasi menjadi satu gaya hidup yang mampu menyumbang kepada kemakmuran sosioekonomi negara, justeru koperasi perlu ada ketelusan untuk membangunkan dan membantu ahli-ahli terutamanya dalam meningkatkan taraf ekonomi mereka,“ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Bekas Angkatan Tentera Malaysia Cawangan Sabah, di sini, baru-baru ini.

Sehubungan itu, Jeffery yang juga Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah berharap gerakan koperasi di seluruh negara dapat merebut peluang dengan kekuatan yang ada untuk menceburi bidang perniagaan berimpak tinggi, sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara.

“Koperasi perlu mengambil pendekatan yang efektif bukan sahaja dalam merangsang pembangunan usahawan bahkan berupaya memainkan peranan besar dalam membantu golongan B40 menangani cabaran peningkatan kos sara hidup,” katanya.

Menurut Jeffery kekuatan jelas dengan bilangan keahlian yang sebegitu ramai di seluruh Malaysia maka seharusnya digunakan untuk menggalakkan koperasi menceburi perniagaan bagi menyumbang kepada negara dalam membangunkan ekonomi rakyat.

Jeffery berkata kerajaan menyasarkan perolehan (turnover) sebanyak RM60 bilion bagi koperasi di seluruh negara dalam masa lima tahun akan datang dan bagi mencapai sasaran itu, semua koperasi perlu mengambil bahagian dan menceburi bidang perniagaan yang berimpak tinggi.

“Perniagaan koperasi kini bukan lagi mengusahakan tanaman secara kecil-kecilan atau mengeluarkan kerepek. Kita kena pergi dalam industri yang besar seperti sektor kewangan, e-perdagangan dan sebagainya.

“Koperasi juga dicadang melihat sektor makanan dan bidang pertanian serta ternakan secara komersil. Di Sabah masih banyak kawasan yang masih belum diterokai,” katanya.

Di samping itu katanya, koperasi juga digalakkan terlibat dalam bidang pemborongan dan peruncitan bagi mengurangkan penguasaan pihak tertentu dalam sektor tersebut.

“Kita lihat masalah yang dihadapi rakyat Malaysia hari ini ialah masalah barang pengguna yang terlalu mahal. Ini berlaku kerana sektor pemborongan dan peruncitan dipengaruhi oleh kartel-kartel yang ada,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.