Mahkamah Baharu Pengerang: Kerajaan Ambil Inisiatif Mantapkan Perkhidmatan Kehakiman Berkualiti

PENGERANG, 2 Jun – Kerajaan sentiasa mengambil inisiatif untuk memastikan penyampaian perkhidmatan kehakiman dan perundangan yang berkualiti kepada rakyat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Jelasnya, pembinaan projek mahkamah baharu Pengerang di Bandar Penawar yang tertangguh telah diluluskan susulan kajian semula kos dan skop bagi menambahbaik prasarana badan kehakiman negara.

“Pembinaan Projek Mahkamah Baharu Pengerang, Bandar Penawar yang telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 telah dimulakan pada 19 Mei 2022 dengan status fizikal terkini sehingga 31 Mei 2023 pada 24.78 peratus.

“Projek yang tertangguh dan diluluskan semula susulan kajian kos dan skop ini adalah bagi menambahbaik prasarana badan kehakiman negara, mempertimbangkan Mahkamah Pengerang sedia ada yang beroperasi di bangunan sewaan kurang praktikal dengan kos tinggi,” katanya selepas meninjau pembinaan Mahkamah Pengerang, di Bandar Penawar, hari ini.

Menurut Azalina, mahkamah tersebut dilengkapi dengan Sistem Court Recording Voice-To-Text (RTV) berupaya untuk mengendalikan kes jenayah dan sivil.

“Mahkamah yang akan dilengkapi dengan Sistem Court Recording Voice-To-Text (RVT) ini akan menempatkan sebuah bilik bicara iaitu Mahkamah Majistret dan berupaya mengendalikan kes jenayah serta sivil berikutan kesan daripada perkembangan sosio-ekonomi daerah Pengerang.

“Di bawah Rolling Plan Ketiga, Rancangan Malaysia Ke-12 tahun 2023, terdapat 25 butiran projek mahkamah yang telah diluluskan melibatkan 21 projek fizikal dan empat projek teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

“Ini melibatkan peruntukan berjumlah RM177,811 juta bagi tahun 2023 dan kos keseluruhan projek berjumlah RM930,487 juta. Kos keseluruhan ini termasuk peruntukan bagi kerja-kerja naik taraf bangunan mahkamah seluruh Malaysia yang berjumlah RM120 juta,” katanya lagi.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan berharap agar pembinaan mahkamah baharu ini dapat menyokong kepada pembangunan pesat Pengerang.

“Kerajaan sentiasa mengambil inisiatif untuk memastikan penyampaian perkhidmatan kehakiman dan perundangan yang berkualiti kepada rakyat.

“Berasaskan kepada projek-projek pembangunan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), kerajaan berharap pembinaan Mahkamah Baharu Pengerang dapat menyokong kepada pembangunan pesat Pengerang,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.