Sanusi Dibidas, Lebih Baik Bercakap Soal Pembangunan, Selesaikan Masalah Rakyat
BANDAR BAHARU, 1 Jun – Kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menegaskan bahawa Pulau Pinang adalah milik negeri tersebut terus dibidas.
Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor, kenyataan terbabit adalah sesuatu yang dianggap memalukan bagi seorang pemimpin yang menjawat menteri besar apatah lagi dalam zaman yang informasi boleh didapati semudah di hujung jari.
Katanya, fakta jelas dengan nilai sejarah tidak pernah padam malah Kerajaan Negeri Kedah tentunya arif berkaitan Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan negeri dalam memahami setiap kandungannya termasuklah antara negeri-negeri dalam Malaysia.
“Ini bukanlah ruang untuk mencari sensasi bagi menaikkan nama dengan mewujudkan kenyataan-kenyataan yang kurang bijak sedemikian,” katanya kepada UMNO Online.
Lantaran itu tegas Nor Sabrina, bukankah lebih baik jika Sanusi menyelesaikan permasalahan yang membelenggu rakyat.
“Banyak lagi perkara lain boleh diangkat oleh beliau selaku menteri besar bagi mencari sensasi berbanding dengan kenyataan-kenyataan kurang bijak yang hanya menjadikan warga Kedah turut mendapat tempias.
“Hal-hal berkaitan keperluan rakyat khususnya permasalahan air masih lagi berlarutan dengan pelbagai alasan terus-terusan diangkat oleh kerajaan negeri.
“Ini belum lagi soal pembangunan ekonomi setempat yang seakan tepu dan tidak bergerak malah rakyat sendiri yang perlu bekerja kuat berusaha membanting tulang bagi memastikan periuk nasi berasap sedangkan kewajaran laluan lebih besar adalah usaha daripada kerajaan negeri yang masih tidak ada.”
Jelas Nor Sabrina, tingkah menteri besar yang lebih gemar bermain sentimen dan mewujudkan pelbagai publisiti sesungguhnya adalah sesuatu yang tidak mendatangkan faedah.
“Barangkali ia dibuat bagi mensensasikan namanya sendiri sedangkan selaku menteri besar, sepatutnya rakyat dan negeri adalah keutamaan,” katanya lagi.
Dilaporkan, pada Isnin Muhammad Sanusi mendakwa Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah dan Kedah hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.
Ditanya adakah Kedah mahu mengambil kembali Pulau Pinang, Muhammad Sanusi berkata pihaknya tidak perlu mengambil kembali negeri itu kerana Pulau Pinang tidak pernah ‘terlepas’ dari Kedah. – UMNO Online