Sokong Kerajaan Perpaduan Demi Kestabilan, Penyatuan Dukung Aspirasi Rakyat

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berpandangan Konvensyen Kerajaan Perpaduan yang telah dilaksanakan baru-baru ini memberikan dimensi baharu kepada kerjasama parti bagi memastikan kerajaan yang ditubuhkan ini kekal stabil.

Katanya, jelas membuktikan kerjasama itu, akar umbi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) secara terbuka menghadiri majlis yang dianjurkan bagi mengeratkan kefahaman politik sesama mereka.

“Saya melihat selepas berlakunya Konvensyen Kerajaan Perpaduan maka di peringkat akar umbi sudah mula bergerak untuk bersama dengan parti dalam PH.

“Maksud bersama, sama ada anjuran UMNO atau parti dalam PH kita saling menjemput antara satu sama lain dan kita meletakkan keutamaan dalam majlis-majlis itu untuk menghadirkan diri.

“Ini supaya masyarakat melihat bahawa secara persepsinya nampak begitu positif bukan hanya sekadar menutup kelemahan atau sekadar sementara, kerana ianya adalah suatu jalinan kerjasama ikhlas di antara kedua-dua pihak dalam PH dan UMNO,” katanya pada UMNO Online.

Beliau berkata perkara ia penting untuk dijaga bagi memastikan keharmonian dalam kalangan parti terpelihara menuju ke Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menurut Azhari ini kerana asas kepada Kerajaan Perpaduan adalah sokongan dalam kalangan parti-parti yang saling memerlukan antara satu sama lain.

“Memang perlu banyak lagi program penerangan, pencerahan supaya PRN kali ini dapat diterjemahkan perpaduan ini dalam bentuk undi.

“Maka kita saling memerlukan antara satu sama lain, tanpa undi PH pun BN mungkin agak sukar begitu juga PN memerlukan undi BN untuk menang PRN enam negeri ini.

“Jadi konvensyen ini menterjemahkan sesuatu yang amat positif maka dapat diperlihatkan kepada pengundi UMNO bahawa dalam penyatuan ini benar-benar jitu dan ikhlas,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.