Pas Nak Sertai Kerajaan Kerana Tak Tahan Jadi Pembangkang, Takut Jadi Kluster Mahkamah

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil menempelak Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang terbuka dan menyatakan kesediaan menerima tawaran daripada sesiapa termasuk Kerajaan Perpaduan.

Beliau menjangkakan bahawa pemimpin Pas itu mungkin bimbang sekiranya kes salah laku Perikatan Nasional (PN) dibuka dan akan terpalit sebagai kluster mahkamah.

“Kini tiba-tiba dia (Hadi) minat ingin masuk kerajaan pula. Mungkin PN tidak tahan jadi pembangkang dan takut kes-kes mereka dibuka dan mereka jadi kluster mahkamah.

“Kepada Hadi, dalam negara perlu ada pembangkang, jika tidak, tidak ada semak imbang. Jangan takut jadi pembangkang. Jika ada kes hadap sahaja di mahkamah. Orang UMNO pun sudah ramai naik turun mahkamah.

“Jika tidak bersalah bersihkan nama. Jika bersalah terimalah kifarah. Apa-apapun jangan aniaya orang. Jika banyak sangat yang tersirat, tersurat dan muslihat, lama-lama sendiri yang terjerat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Bagaimanapun jelas Isham, sedangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri
menafikan dakwaan bahawa ada wakil daripada kerajaan yang menawarkan kepada parti itu untuk kerjasama .

“Hadi kata dia sedia jumpa Anwar, rupanya dia minat ingin masuk kerajaan. Dia kata kononnya ramai orang datang jumpa dia tawar untuk masuk kerajaan.

“Namun PM Anwar kata tadi bahawa tiada jemputan kepada Pas pun untuk masuk kerajaan. Ada orang kata Dap yang jemput Pas. Kalau ini betul, Hadi akan suruh orang-orang Pas undi Dap lagi kah macam dulu?” soal beliau.

Terdahulu, Abdul Hadi memaklumkan, pihaknya sememangnya terbuka dengan mana-mana tawaran oleh sesiapa pun, dan memaklumkan telah dihubungi oleh wakil kerajaan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.