Demi Kesejahteraan Rakyat, UMNO Labuan Akan Wujudkan Kumpulan Pemikir Kembalikan Kegemilangan

LABUAN, 31 Mei – Satu kumpulan pemikir akan diwujudkan bagi mencari jalan mengembalikan kegemilangan Labuan dalam sektor ekonomi.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Datuk Alli Hassan, kumpulan pemikir itu bakal menggabungkan pemimpin tempatan, agensi kerajaan, NGO dan persatuan-persatuan yang berkaitan.

“Kumpulan ini akan mencambah idea bagi pastikan kegemilangan Labuan dapat kita kembalikan dan masyarakat terutama para peniaga tempatan mendapat manfaat.

“Suara Labuan perlu kita satukan dan perlu ada pengorbanan serta kerjasama semua pemimpin tidak mengira latar belakang politik demi rakyat dan pulau tercinta ini,”katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Karnival Perpaduan anjuran bersama Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Harmoni Labuan dan Labuan Holding Sdn Bhd (LDA) baru- baru ini.

Beliau turut memuji usaha penganjuran program tersebut yang mampu menjana ekonomi setempat di pulau itu.

“Kita perlu pastikan ada penganjuran program sebegini setiap bulan yang boleh membawa pengunjung luar datang ke Labuan sekaligus membantu para penjaja kecil, hotel dan restoran di pulau ini,” katanya lagi.

Tambahnya, beliau juga ada menyuarakan permasalahan yang dihadapi oleh rakyat Labuan kepada Timbalan Perdana Menteri.

“Saya ada bertemu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan sudah menyuarakan isu air dan elektrik yang dihadapi masyarakat Labuan dan kita akan suarakan lagi apabila beliau dijangka turun sendiri ke Labuan nanti.

“Dengan pengalaman dan hubungan yang saya ada dengan Kuala Lumpur saya akan terus berusaha suarakan apa sahaja masalah yang dihadapi orang Labuan,” jelasnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.