UMNO Terus Gerak Ke Depan, Abaikan Cubaan Lunturkan Semangat Ahli – Hang Tuah Din

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Ketua Penerangan UMNO Perak, Datuk Hang Tuah Din melihat tindakan beberapa pihak yang masih lagi memainkan isu serta langkah yang diambil parti pasca Pilihan Raya Umum (PRU) lalu adalah cubaan mereka yang masih bermain politik.

Sedangkan kata beliau yang juga Ketua UMNO Gopeng, umum sudah tahu bagaimana perjalanan pasca PRU dan apa yang penting hari ini adalah masing-masing terus mengorak langkah ke depan.

“Apatah lagi kita akan berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN)… jadi yang sudah berlaku biarlah berlaku dan hari ini kita bergerak ke depan.

“Bukankah langkah dan gerak yang diambil sebelum ini adalah berkolaborasi bersama Pakatan Harapan. Jadi kita tidak perlulah lagi memainkan perkara-perkara yang tidak membawa apa-apa manfaat untuk parti.

“Kita nak berjalan dan terus bergerak depan… bukankah sebelum ini kita lihat bagaimana ketidakstabilan yang akhirnya amat merugikan negara dan rakyat. Cukup-cukuplah,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Tambah beliau lagi masing-masing usah menuding jari kerana yang utama dan penting hari ini adalah untuk memastikan kejayaan parti.

“Sehari dua ini ada pula permainan undi calon itu dan undi calon ini sedangkan jelas…kolaborasi kita bersama Pakatan Harapan dan yang lain. Jadi saya percaya sentimen dan cubaan itu hanya untuk mengeruhkan suasana.

“Marilah kita bergerak bersama-sama… menjayakan apa yang telah diambil dan yang telah diputuskan demi kepentingan negara dan seluruh rakyat,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.