UMNO/BN Perlu Jual Jenama Parti, Tarik Minat Rakyat Dan Anak Muda – Ahmad Shabery

SEREMBAN, 30 Mei – UMNO/Barisan Nasional (BN) perlu menjual dan merepresentasikan jenama parti dengan kaedah yang terbaik terutamanya dalam usaha menarik minat anak muda dan juga rakyat.

Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Malaysia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, UMNO adalah parti yang sering menjadi pusat tumpuan utama tidak mengira waktu.

“Satu perkara yang saya kira kita patut jual ialah jenama UMNO itu sendiri. UMNO adalah parti yang ada ‘brand’, ada jenama.

“‘Brand’ UMNO ini sebenarnya dicerita-ceritakan oleh semua orang. Sebagai contoh, waktu kita kalah dahulu semua orang nak intai Pusat Dagangan Dunia (WTC) sebab ‘brand’ di tengah-tengah bandar itu UMNO.

“Di Seremban ini, kalau kita tengok cerita lama, bandar ini bukan bandar Melayu. Tetapi antara bangunan yang menonjol sejak pada dahulu ialah bangunan UMNO,” katanya ketika menyampaikan ceramah sempena program Penerangan UMNO Negeri Sembilan di Wisma UMNO Negeri Sembilan, di sini Sabtu petang.

Jelasnya, anak-anak muda baru-baru ini mula tertarik dengan jenama Perikatan Nasional (PN) terutamanya di sebelah Pantai Timur kerana mereka menimbulkan kebencian terhadap UMNO.

“Sebab itu waktu baru-baru ini orang muda tiba-tiba tertarik dengan ‘brand’ PNdi sebelah Kelantan dan Terengganu. Mereka kebanyakannya tidak tahu.

“Kalau kita cerita tentang pemimpin-pemimpin PN, yang sakaunya, timbul masalah pun ada. Begitu juga dengan pemimpin Pas. Tetapi tiba-tiba ‘brand’ itu ditimbulkan dengan menanam kebencian terhadap ‘brand’ asal yang bernama UMNO.

“Selalu sebut pasal 1MDB, itu yang mereka ceritakan. Kalau kita cerita tentang pendidikan, kemajuan, pekerjaan, tidak ‘seksi’ kata mereka,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery mengakui bahawa UMNO adalah sekolah politik yang terbaik kerana ianya mampu melahirkan para kepimpinan berkualiti dan berdedikasi.

“… yang saya katakan selama ini pada sesiapa sahaja yang mahu belajar sekolah politik terbaik bukan di UM, UKM mahupun Harvard. Bagi orang Malaysia, sekolah politik terbaik ialah yang bernama UMNO

“UMNO melalui proses belajar sebab itu sampai sekarang pun Pas dah menang besar sekalipun mereka tidak berani mencadangkan nama daripada Pas jadi perdana menteri. Mereka cadangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebab apa, sebab beliau ialah bekas UMNO.

“Perdana menteri yang sekarang juga bekas UMNO. Tidak ada parti lain yang membina kekuatan sebegitu rupa. Bukan sahaja untuk orang tua tetapi untuk orang muda melainkan UMNO/BN yang kita sebutkan tadi,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.