Ziarah Wanita UMNO Ke Perak, Terus Semarak Silaturahim Kalangan Keluarga Parti

KUALA LUMPUR, 29 Mei – Wanita UMNO Malaysia terus menyemarakkan semangat perpaduan dan kekeluargaan dalam kalangan Wanita dengan melakukan kunjungan ke Perak.

Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkesempatan bersama Ketua Wanita UMNO Negeri Perak, Salbiah Mohamed dan jentera Wanita UMNO.

Mereka sambil bersantai dan menikmati sarapan di Castella Café sebelum bergerak ke program yang telah diatur.

“Segarnya suasana pagi ini. Baru perasan di belakang tempat kami menginap ada sungai. Jadi pagi ini sebelum kami bersarapan di Castella Cafe, sempat juga bergambar sekeping dua. Di Castella Cafe ni, uniknya sebab kita makan sambil rendam kaki dalam air sungai.

“Menu ala-ala kampung seperti ubi rebus, pekasam, nasi lemak dan makanan tradisional lain. Sesekali keluar dari hiruk pikuk kota metropolitan, kami cipta memori pula di sini.

“Salbiah dah siap-siap ikut tema program. Berkain batik semuanya. Makanan di sini pun sedap,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Kunjungan pertama, beliau serta rombongan menaiki motor menziarah ke rumah penduduk yang kurang bernasib baik dengan menyampaikan barangan keperluan sebagai meringankan beban mereka.

“Dalam bergelak ketawa, tidak dilupakan juga buat mereka-mereka yang diuji dengan masalah kesihatan.

“Selepas bersarapan, dengan berkain batik, Salbiah bawa saya pusing kampung dengan menaiki motor. Kami menziarahi dan menyantuni penduduk setempat yang kurang sihat,” ujar beliau.

Usai melakukan ziarah kasih beliau turut menyertai Program Ramah Mesra Wanita UMNO Negeri Perak.

Program tersebut antara lain mengadakan pertandingan membuat cucur yang melibatkan Wanita UMNO daripada 24 buah bahagian.

“Ada yang berbusana, berkain batik, bercucuk sanggul lintang dengan pelbagai gaya. Meriah suasana program di sini.

“Tahniah diucapkan kepada Salbiah, dan, Naib Ketua Wanita UMNO Negeri Perak, Salina Samsudin serta barisan kepimpinan yang telah berjaya menganjurkan program sebegini.

“Program tiga dalam satu, selain pertandingan membuat cucur serta merapatkan silaturrahim di antara satu sama lain, turut diselitkan juga ceramah berkaitan isu semasa yang disampaikan oleh Pengarah War Room Negeri Perak,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.