Sekretariat Perpaduan Ilmuwan Islam Malaysia Perakui Tiga Objektifnya

KUALA LUMPUR, 29 Mei – Sekretariat Perpaduan Ilmuwan Islam Malaysia (SPIIM) telah memperakui tiga objektifnya iaitu menjamin dan mengukuhkan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dalam pentadbiran dan pengurusan negara, memperkasakan perpaduan dan kesatuan umat Islam di Malaysia sebagai asas kerukunan bernegara serta menyuburkan keharmonian bermasyarakat di kalangan rakyat Malaysia yang bersifat majmuk, berbilang agama dan kaum.

Hal ini dimaklumkan melalui satu kenyataan media yang dikeluarkan SPIIM, hari ini setelah mengadakan mesyuaratnya kali pertama di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Kenyataan Media

Katanya, SPIIM turut menjunjung titah Raja-raja Melayu berhubung Kalimah Allah serta menegaskan keputusan Mahkamah Rayuan pada 2013 dan Mahkamah Persekutuan pada 2014 bahawa Kalimah Allah adalah khusus untuk umat Islam.

“SPIIM menyokong penuh usaha Kerajaan Perpaduan menyegerakan tindakan mengemaskini Arahan Pentadbiran dan Pekeliling KDN berhubung penguatkuasaan Kalimah Allah agar tidak berlaku lagi isu dan kes mahkamah seumpama kes Jill Ireland yang membawa masuk CD bertulis kalimah Allah pada tajuknya menerusi LCCT Sepang, Selangor.

“SPIIM turut menyeru semua pihak supaya meneruskan usaha-usaha berdakwah bagi memupuk masyarakat Madani yang membawa mesej Rahmah dan menolak kelompok yang memecahbelahkan masyarakat.”

Maklumnya, SPIIM akan mengadakan Konvensyen Perpaduan Ilmuwan Islam dalam masa terdekat bagi menghimpunkan alim ulama dan ilmuwan Islam bertujuan memperkasakan agenda Islam dalam kerangka Malaysia Madani.

Mesyuarat tersebut telah dihadiri oleh Pengerusi Bersama SPIIM, Datuk Dusuki Ahmad, Datuk Seri Ahmad Awang dan Amidi Abdul Manan.

Ahli mesyuarat terdiri daripada Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri, Ustaz Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin dan Ustaz Mohd Edrus Ab Rahman mewakili UMNO. AMANAH pula diwakili oleh Datuk Abd Ghani Samsudin, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan Ustaz Ahmad Munsif Ismail, manakala KEADILAN diwakili oleh Ustaz Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan Ustaz Muhamad Muszaki Mohd Ozir. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.