Program Peduli Rakyat Inisiatif Gerak Kerja Khidmat Bakti UMNO Labuan

LABUAN, 29 Mei – Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan menggerakkan inisiatif untuk mendekati rakyat dengan menyantuni mereka yang dilanda musibah, kesusahan dan perlukan bantuan melalui Program Peduli Rakyat.

Dalam hal ini, beliau bersama jawatankuasa UMNO Bahagian telah menyalurkan bantuan dengan usaha yang digerakkan melalui informasi akar umbi iaitu Cawangan-cawangan UMNO.

“UMNO Labuan turut berduka nasib yang menimpa seorang warga Kampung Killan Pulau Akar bila mana rumahnya mengalami kebakaran pada awal minggu ini. Saya ambil kesempatan menziarahi dan menyampaikan sedikit sumbangan untuk meringankan beban beliau,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya.

Turut bersama dalam kunjungan turun padang ini ialah Ketua Puteri Labuan, Normiyati Jumat; Ketua UMNO Cawangan Killan, Raimy Yussof dan seluruh kepimpinan UMNO Bahagian Labuan serta Cawangan Killan.

Dalam gerak kerja yang lain, Mohd Rafi bersama Sekretariat Agama dan Khairat Kematian UMNO Bahagian Labuan telah menziarahi dua keluarga yang baharu kehilangan ibu di Kampung Lubuk Temiang dan seorang anak istimewa di Kampung Tanjung Kubong.

“Saya berharap banyak bersabar dan tabah menghadapi dugaan ini. Allah lebih menyayangi mereka,” katanya.

Bukan itu sahaja, UMNO Labuan juga turut membantu meringankan beban kepada keluarga penduduk yang bakal melangsungkan majlis perkahwinan dengan memberikan bantuan beras.

“Rombongan UMNO Bahagian Labuan menghantar beras 100kg setiap keluarga yang ingin melangsungkan perkahwinan pada minggu depan. Hari ini enam keluarga yang kami kunjungi.

“Syabas dan tahniah kepada Sekretariat Kebajikan UMNO Bahagian Labuan yang diketuai oleh Sabli Bahri dan rakan-rakan pimpinan lain. Terima kasih juga kepada Saifful Pungot Pemuda UMNO Labuan dan Normiyati Jumat, Ketua Puteri Labuan.” – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.