PRN: UMNO Negeri Sembilan Tekad Menangkan Semua Kerusi Yang Ditandingi

SEREMBAN, 28 Mei – UMNO Negeri Sembilan bertekad mahu memenangkan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu.

Bercakap di hadapan kira-kira 800 orang pendukung parti, Pengerusinya Datuk Seri Dr Jalaluddin Alias berkata apa yang utama untuk mencapai hasrat tersebut adalah semua pihak di dalam parti mestilah bergabung tenaga dan pemikiran.

“Naratif kita adalah mahukan kemenangan. Dalam tempoh dua bulan dari sekarang kita mesti gabungkan semua tenaga dan pemikiran ke arah satu matlamat… yakni semua kerusi yang UMNO/Barisan Nasional (BN) tandingi mesti menang.

“Kita gerak bersama. Tugas kita amat berat. Tekad dan bai’ah antara kita untuk pastikan kerusi yang ditandingi tidak akan terlepas pada pilihan raya kali ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Jelebu ketika merasmikan majlis penutup program penerangan UMNO Negeri Sembilan di Wisma UMNO Negeri Sembilan di sini Sabtu petang.

Hadir sama Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Mohd Faizal Ramli, Pengarah Komunikasi Strategik Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Ketua Penerangan UMNO Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim.

Terdahulu, program tersebut diisi dengan sesi percambahan minda yang disampaikan oleh Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Seri Azalina Othman Said, Dr Asyraf dan Ahmad Shabery.

Seterusnya tambah Jalaluddin, jelas semangat semua kepimpinan dan ahli parti di peringkat akar umbi seluruh negeri mahukan UMNO dan BN menang di dalam PRN nanti.

“Apabila saya diberi kepercayaan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, saya pergi semua bahagian dalam majlis berbuka puasa, majlis sambutan hari raya sama ada bahagian yang ada kerusi atau tidak… saya tengok sambutan akar umbi ahli UMNO sangat luar biasa. Ini merupakan satu tanggungjawab bersama.

“Selepas ini badan perhubungan akan turun ke setiap DUN yang ditandingi berjumpa dengan semua jentera DUN, Wanita, Pemuda dan Puteri. Saya harap kita ambil tanggungjawab. Ahli Parlimen dan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) diharap dapat memberi bantuan dan sokongan kepada jentera UMNO bagi memastikan kemenangan,” katanya.

Begitu juga Jalaluddin menyeru agar semua pihak di dalam parti dapat bersatu padu dan jangan berpecah-belah bagi memastikan hasrat perjuangan dapat diterjemahkan dalam PRN kelak.

Manakala terdahulu di dalam majlis yang sama, Ismail ketika menyampaikan kata-kata aluan berkata pentingnya diberi penjelasan kepada pemimpin-pemimpin bahagian agar dapat memberi penerangan mengenai isu-isu semasa kepada akar umbi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.