Nilai Sebenar Berita Pastikan Kelangsungan Institusi Media – Saarani Mohamad

IPOH, 28 Mei – Kelangsungan institusi media bukan sahaja bergantung kepada pantasnya ia dapat menyebarkan berita, tetapi sejauhmana ia membawa nilai kebenaran iaitu antara prinsip penting dalam profesion kewartawanan.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kepalsuan sesuatu berita boleh membawa kepada kemusnahan, mengubah kasih sayang kepada kebencian.

“Sebab itulah, saya sangat yakin kekuatan media sama ada konvensional atau media baharu bukan sahaja terletak pada variasi kandungan tetapi juga nilai ketelusan dan integriti yang dibawa.

“Selagi semangat dan identiti itu dapat dipertahankan, maka profesion kewartawanan akan terus teguh dan dihormati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada kemuncak perasmian Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 bertemakan ‘Media Bebas, Tunjang Demokrasi’ yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan timbalannya Teo Nie Ching serta Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Roslan Ariffin.

Dalam pada itu, Saarani berkata peranan media tidak pernah luput bukan sahaja sebagai pencetus pemikiran rakyat tetapi sebagai pembina negara dengan memainkan peranan menentukan prinsip semak dan imbang yang sentiasa wujud dalam perjalanan serta tatakelola pentadbiran kerajaan.

Beliau berkata dalam erti kata lain media merupakan medium untuk melontarkan pandangan kritis dan idea bernas supaya penambahbaikan dapat diterapkan dalam urusan pentadbiran.

“Saya selalu percaya, kerajaan yang baik adalah kerajaan yang sentiasa mendengar, terbuka kepada pandangan dan teguran membina. Seperti bidang-bidang lain, dunia kewartawanan juga berdepan perubahan begitu drastik.

“Media sosial menjadikan berita begitu pantas tersebar. ‘Wartawan segera’ muncul seperti cendawan selepas hujan. Sehingga satu tahap, media konvensional seperti surat khabar dilihat akan menemui jalan mati,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.