SKUJ Dapat Perhatian Jalaluddin

KUALA LUMPUR, 27 Mei – Prihatin dengan masalah setempat ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias membuat kunjungan melawat Sekolah Kebangsaan Undang Jelebu (SKUJ).

Menerusi catatan di Facebook, beliau berkata setelah mendapat aduan daripada pihak berkenaan, beliau mengambil keputusan untuk turun sendiri meninjau keadaan infra di sekolah tersebut.

“Beberapa hari lepas saya terima aduan dari ibu bapa pelajar Sk Undang Jelebu (SKUJ) mengenai keadaan infra di sekolah itu. Jadi pagi ini saya terus buat lawatan mengejut dan saya lihat dengan mata saya sendiri keadaan sangat teruk.

“Siling dewan kantin sekolah dah jatuh. Agak bahaya untuk anak-anak kita. Meja dan kerusi banyak yang rosak, hampir semua kelas. Lantai kelas pun saya nampak ada yang dah pecah-pecah.

“Saya pergi ke bilik guru pula. Aircond rosak dan meja guru pula dah usang dan amat terhad. Tak selesa untuk 50 orang guru di sini. Untuk keselesaan 603 pelajar di SKUJ, saya terpaksa ambil beberapa langkah segera dengan melantik kontraktor untuk kerja-kerja baik pulih segera Dewan Kantin SKUJ,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan mengharapkan agar pihak berwajib segera meluluskan bajet yang dipohon.

“Saya juga mengesa Kementerian Pendidikan Malaysia untuk segera luluskan bajet permohonan yang telah dimohon pihak sekolah.

“Pohon Pusat Pendidikan Daerah (PPD) juga membantu untuk permudahkan urusan ini segera,” jelas beliau.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.