Program Townhall Bersama GenZ: Zahirkan Segala Hasrat Sebenar Anak Muda Terhadap Parti

KUALA LUMPUR, 27 Mei – Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Zahari merasa bertuah kerana berkesempatan untuk berjumpa dengan para pelajar dari pelbagai universiti bagi mengetahui apa hasrat sebenar mereka terhadap UMNO.

Jelasnya, para pelajar yang kebanyakannya datang daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini amat ikhlas dan tahu menghargai perjuangan parti.

“Alhamdulilah hari ini kita dapat selesaikan majlis bersama para pelajar daripada pelbagai universiti seperti UPM, UiTM, UIA dan UKM.

“Saya merasa sangat bertuah kerana berkesempatan berjumpa dengan anak-anak muda ini dan mengetahui apa luahan hati mereka,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut beliau, segala input yang telah diberikan oleh para pelajar semasa program tadi bakal menjadi panduan untuk parti terus bergerak ke hadapan.

“Nama program pun ‘Merapatkan Jurang: Keyakinan, Persepsi dan Masa Depan UMNO Bersama GenZ’. Saya mengharapkan mereka lebih mengenali UMNO, tetapi kebetulan mereka yang hadir ini semuanya ikhlas.

“Mereka memberitahu apa kesilapan UMNO dan apa yang mereka harapkan daripada parti. Insya-Allah segala input yang kita dapat daripada para pelajar pada hari ini akan menjadi panduan untuk kita bergerak ke hadapan, merangka program-program kita di masa hadapan agar ianya tidak menjadi program ‘syok sendiri’,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa Wanita UMNO Malaysia akan membawa empat usul meluputi unsur politik, agama, pendidikan dan ekonomi bagi terus membela nasib rakyat dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) nanti.

“Kita dah berbincang mengenai usul yang akan dibawa pada PAU nanti. Ianya merangkumi unsur politik, agama, pendidikan dan ekonomi yang saya fikir keempat-empat usul ini sangat penting untuk UMNO kerana kita adalah pembela nasib rakyat.

“Melalui usul-usul ini kita mengharapkan agar pihak Kerajaan Perpaduan yang ada pada hari ini akan mengambil input untuk kita perbaiki sama ada dalam urusan pentadbiran negara supaya apa jua luahan hati rakyat didengari,” katanya lagi.

Rosni turut percaya bahawa luahan hati para perwakilan PAU itu sudah semestinya datang daripada akar umbi dan rakyat.

“Mereka ahli-ahli UMNO yang hadir dalam PAU ini merupakan ahli-ahli yang membawa suara akar umbi.

“Saya percaya luahan hati ini bukan sahaja daripada ahli UMNO tetapi ianya juga datang daripada suara rakyat dan pengundi-pengundi di bawah.

“Kerajaan Perpaduan mesti ambil perhatian, mengambil tindakan dan mencari kaedah terbaik untuk membantu rakyat,” katanya lagi.

Program townhall yang bertajuk ‘Merapatkan Jurang: Keyakinan, Persepsi dan Masa Depan UMNO Bersama GenZ’ ini telah diadakan pada pagi tadi dengan disertai lebih 80 orang pelajar daripada pelbagai universiti sekitar Lembah Klang.

Disamping untuk menarik minat anak muda kepada UMNO, program ini juga bertujuan untuk mendengar segala persepsi yang mereka terima daripada sumber media lain berkenaan parti. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.