Pendirian UMNO Tegas Kalimah Allah Mesti Dipelihara dan Dipertahankan – Dr Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 27 Mei – UMNO berpendirian bahawa hak eksklusif umat Islam dalam penggunaan kalimah Allah mesti dipelihara dan dipertahankan, demikian tegasnya Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ini kerana katanya ada yang menanyakan pendirian UMNO tentang kalimah Allah.

“UMNO tidak pernah berganjak daripada prinsip dari dulu sampai sekarang bahawa kalimah Allah adalah hak eksklusif umat Islam dan tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya oleh agama-agama lain kerana ia boleh mengelirukan.

“Kerana kata kalimah Allah adalah kata ‘khas’ yang bukan boleh diterjemahkan sewenang-wenangnya daripada kitab bible, God sebagai Allah tetapi god diterjemahkan sebagai Tuhan.

“Sebab itulah prinsip UMNO hendak menjaga akidah umat Islam seperti mana dalam konteks kaedah feqah disebut ‘seorang pemerintah harus membuat satu ketetapan dasar berasaskan kepada maslahah,” katanya.

Kata Asyraf lagi, Majlis Raja-raja Melayu kebawah Duli Tuanku Sultan-sultan telah pun membuat ketetapan yang jelas bahawa kalimah Allah adalah hak eksklusif umat Islam yang tidak boleh digunakan oleh mana-mana agama lain dan ini juga dipertahankan.

“UMNO sejak daripada dulu bahkan telah pun diputuskan secara mutlak oleh Mahkamah Persekutuan pada 2014 dalam kes katolik kristian dalam isu penerbitannya The Herald dan mahkamah telah memutuskan tidak boleh menggunakan kalimah Allah kerana ia adalah hak eksklusif umat Islam.

“Justeru jangan ada lagi yang mempertikaikan pendirian UMNO yang tidak pernah berganjak sehinggalah hari ini walaupun UMNO sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi.

Tegasnya lagi, paling mustahak kena faham isu kalimah Allah yang dibangkitkan sekarang tidak ada kaitan dengan soal akidah.

“Tidak ada kaitan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan 2014 tapi dalam isu Mahkamah Tinggi dalam kes Jill Ireland ia adalah merujuk kepada rampasan barang milik peribadi yang hakim memutuskan bahawa itu adalah haknya untuk mendapatkan kembali barang rampasan.

“Ianya ada sedikit masalah dalam konteks pentadbiran kerana soal peraturan yang dikeluarkan pada 1986 perlu diperkemaskan bagi memastikan pelaksanaan keputusan Mahkamah Persekutuan 2014 dan keputusan Majlis Raja-raja Melayu,”ujarnya.

Seterusnya Asyraf menasihati umat Islam agar memahami lima maslahah yang terdapat dalam prinsip Maqasid Syariah.

“Terdapat lima prinsip Maqasid Syariah untuk dijaga sebagai asas kepada maslahah iaitu menjaga agama, menjaga akal, menjaga nyawa,menjaga keturunan dan menjaga harta,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.