Lebih 1,000 Ahli Baharu Di Lahad Datu, Dakwaan Tidak Perkasa Parti Hanyalah Auta

LAHAD DATU, 27 Mei – Sekiranya ada orang luar berkata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak berusaha untuk terus memperkasa parti di seluruh peringkat, itu semua adalah auta dan tidak benar, tegas Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul.

Ini kerana katanya, ramai anak muda khususnya di UMNO Bahagian Lahad Datu telah menghantar borang keahlian bagi menyertai UMNO selepas sedar mengenai betapa pentingnya parti keramat itu dalam membela orang Melayu dan bumiputra.

“Alhamdulillah. Dengan gerak kerja, penjelasan kepada rakyat tentang betapa pentingnya UMNO bagi orang Melayu dan bumiputera, fakta UMNO benar-benar membela rakyat dari awal pertubuhannya, ramai anak muda khususnya di UMNO Bahagian Lahad Datu telah menghantar borang keahlian menyertai parti keramat orang Melayu ini.

“Selepas pemilihan UMNO seluruh Malaysia, UMNO Bahagian Lahad Datu telah menerima kemasukan ahli UMNO baharu bagi N.60 Tunggu, 175 ahli, N.61 Segama (248), N.62 Silam (389) dan N.63 Kunak (1,139),” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Sharif Musa turut yakin bahawa situasi sebegini bukan sahaja berlaku di Lahad Datu bahkan di kesemua bahagian UMNO seluruh Malaysia.

“Insya-Allah, ini bukan berlaku di UMNO Bahagian Lahad Datu sahaja, tetapi di semua Bahagian UMNO seluruh Malaysia.

“Jika ada orang luar berkata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak berusaha untuk terus memperkasakan parti seluruh peringkat Bahagian UMNO, itu semua adalah auta dan tidak benar.

“Pesan Saidina Umar Al-Khattab; didiklah anak-anakmu itu berlainan dengan keadaan kamu dahulu, kerana mereka telah dijadikan Tuhan untuk zaman yang bukan zamanmu,” katanya lagi.

Untuk rekod, UMNO Bahagian Lahad Datu secara keseluruhannya telah menerima sebanyak 1,951 kemasukan ahli baharu sekaligus menepis dakwaan pihak lawan yang mengatakan parti keramat ini sudah tidak lagi menjadi pilihan anak muda. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.