Agihan Kerusi PRN Diputuskan Hujung Mei – Bung Moktar

KUALA LUMPUR, 27 Mei – Agihan kerusi untuk parti politik dalam Kerajaan Perpaduan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Terengganu akan dimuktamad hujung Mei ini, kata Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Bung Moktar Radin.

“(Agihan kerusi) Belum muktamad dan di peringkat negeri, diminta bincang dan belum diputuskan… ,” katanya selepas menghadiri mesyuarat MT parti itu yang dipengerusikan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini malam tadi.

Beliau berkata mesyuarat itu turut membincangkan hala tuju dan perancangan untuk memperkasa parti dalam berhadapan dengan PRN.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Kelantan dan Terengganu bakal mencapai tempoh matang dan terbubar secara automatik pada akhir Jun ini manakala Kedah, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang akan terbubar pada Julai serta Ogos.

Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum ini menyatakan bahawa PRN di keenam-enam negeri sesuai dilaksana pada Ogos selepas kesemua DUN mencapai tempoh matang.

Seorang lagi Ahli MT UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi pula berkata mesyuarat turut mendengar penjelasan Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan berhubung saranan beliau agar ahli parti itu mengundi DAP pada PRN kali ini.

“Ahmad Maslan beri penjelasan bahawa dia sebenarnya mengajak ahli menyokong calon Kerajaan Perpaduan, itu sahaja… tiada sebut pasal DAP pun… Kita terimalah penjelasan itu. Kita nak Kerajaan Perpaduan kekal hingga cukup penggal,” katanya.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.