Konvensyen Kerajaan Perpaduan Manifestasi Keutuhan Parti-parti Dukung Kerajaan – Afif

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bangi, Afif Farhi Othman berpandangan Konvensyen Kerajaan Perpaduan yang diadakan baru-baru ini adalah manifestasi kepada keutuhan parti-parti dalam mendukung kerajaan.

Katanya, medium tersebut sekaligus dapat mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli-ahli parti bagi memastikan kerjasama ini dapat dijalinkan dengan sebaiknya.

“Konvensyen ini adalah titik tolak kepada rakyat Malaysia untuk melihat sejauh mana kesatuan dan kesepaduan kerjasama parti-parti yang mendukung Kerajaan Perpaduan.

“Pada masa yang sama menjadi satu pentas untuk kita melebar luas jaringan informasi sesama pimpinan dan menambah hebatkan lagi kolaborasi.

“Kita tidak pernah pun terfikir kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dan juga parti-parti yang lain tetapi takdir telah menentukan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 menuntut kita di bawah Yang Dipertua Agung untuk bekerjasama, dan menjadi tanggungjawab UMNO untuk terus terlibat, mengambil tanggungjawab demi memastikan kebajikan rakyat dan juga kesejahteraan negara,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Mengulas lanjut beliau berkata, situasi politik yang dinamik ini ternyata suatu pembaharuan dan ianya perlu dinilai berdasarkan kepentingan rakyat serta negara.

“Suka atau tidak dalam keadaan UMNO hari ini kita wujudkan satu kombinasi yang baik untuk mentadbir negara, kita tidak boleh terlalu jumud.

“… kerana pendekatan perlu berubah dan kombinasi antara UMNO, MCA dan MIC ini tetap perlu dikekalkan tetapi ditambah baik dengan penyertaan kita di dalam Kerajaan Perpaduan yang mana wujud suatu kerjasama yang baharu, politik yang lebih jauh terbuka,” ujar beliau lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.