Pas/PPBM Tak Mampu Ganti Jasa Dan Peranan Perjuangan UMNO Bina Negara – Lokman

KUALA LUMPUR, 25 Mei – Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam membidas Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mengatakan bahawa Perikatan Nasional (PN) melalui Pas/Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan menggantikan perjuangan UMNO.

Katanya, peranan dan perjuangan UMNO tidak boleh digantikan dengan mana-mana parti kerana khidmat kepada rakyat dan negara sejak awal penubuhannya tidak boleh dinafi.

“Shahidan mengatakan bahawa hari ini orang Melayu kena beralih kepada PN untuk menggantikan perjuangan Melayu/UMNO, saya hendak beritahu beliau selama hari ini UMNO tidak pernah mengkhianati perjuangan.

“Kerana UMNO yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, keistimewaan orang Melayu dalam Perlembagaan, Bahasa Malaysia sebagai bahasa Kebangsaan, meletakkan kedudukan Raja-raja Melayu, ini semua dilakukan oleh UMNO.

“Kalau UMNO hendak khianat perjuangan Melayu lama dah kita buat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada hantaran video yang dikongsi di Facebook.

Lokman yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menambah, tindakan PN itu adalah kerana bimbang dengan keupayaan UMNO untuk merasionalkan Dap.

“Hari ini orang Melayu takut kerana pengalaman Pas/PPBM banyak kena dengar cakap Dap berbanding dengan keadaan sekarang.

“Saya yakin kita ada tempoh empat tahun setengah, tunjukkan kepada rakyat bahawa UMNO boleh membuat Dap lebih rasional, UMNO boleh bekerjasama dengan semua rakyat tidak kira orang Melayu, Cina atau India.

“Mereka boleh menjadi warganegara Malaysia yang menghormati seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 153 dan hormat Kontrak Sosial dengan baik,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.