Muhyiddin Hipokrit, Gerun Kepada Rakan Kerajaan Perpaduan – Mohd Zaidi

KUALA LUMPUR, 25 Mei – Tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyelar kenyataan pimpinan UMNO yang memujuk rakyat untuk memberikan undi kepada rakan dalam Kerajaan Perpaduan disifatkan sebagai hipokrit.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain berkata, PN juga pernah menjalinkan kerjasama bersama Dap dan kenyataan tersebut jelas menunjukkan kegerunan mereka terhadap rakan parti komponen Kerajaan Perpaduan.

“Inilah yang dikatakan dinamiknya politik negara ini. Apa yang mereka (PN) kata kita buat hari ini, sebenarnya mereka dah pernah buat dahulu. Jadi, apa lagi yang mereka nak kata bahawa ini perkara tidak betul kita buat?

“Mereka sebenarnya gerun dan takut dengan apa yang berlaku serta langsung tidak menyangka bahawa Barisan Nasional (BN) boleh bersama dengan Pakatan Harapan (PH),” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bangi itu turut menganggap kenyataan Muhyiddin jelas mahu membangkitkan kebencian orang Melayu kepada parti keramat UMNO.

“Kita sekarang ini bukan atas komponen parti itu kita bergabung. Kita bukannya bergabung dengan Dap, PAN dan PKR tetapi bekerjasama membentuk kerajaan bersama PH.

“Tidak kira apa parti daripada PH, mereka bertanding atas tiket PH. Begitu juga kita daripada BN. Kita ada UMNO, MCA, MIC dan Friends of BN. Kalau wakil UMNO pun bertanding atas tiket BN.

“Di sini, mereka cuba untuk melaga-lagakan kononnya UMNO sokong Dap. Mereka cuba membangkitkan kebencian orang Melayu kepada UMNO,” katanya lagi.

Menurut Mohd Zaidi lagi, mereka cuba untuk menghasut rakyat kerana UMNO bekerjasama dengan parti yang kononnya dikatakan cauvinis.

“Mereka cuba membangkitkan kebencian orang Melayu kepada UMNO kerana UMNO nak cuba bergabung dengan Dap yang kononnya cauvinis.

“Tetapi, mereka pun berpakat juga dengan Gerakan yang lebih cauvinis daripada Dap. Mereka cuba nak mengaburi mata orang Melayu.

“Bagi saya apabila mereka dah buat sesuatu perkara itu boleh dan apabila kita buat mereka kata tidak boleh, itu dipanggil hipokrit. Dalam istilah melayu, munafik,” katanya lagi.

Pada Ahad media melaporkan bahawa Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan gesaan supaya ahli UMNO menyokong calon Dap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sebagai sesuatu perkara yang luar biasa.

Beliau berkata, gesaan itu turut disifatkan sangat janggal kerana bertentangan dengan prinsip perjuangan UMNO. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.