Pas Dibidas, Jangan Campuri Urusan UMNO/BN Tentukan Masa Depan

LABUAN, 24 Mei – Ketua UMNO Bahagian Labuan Datuk Mohd Rafi Alli Hassan membidas Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin yang dianggap cuba mencampuri urusan UMNO/Barisan Nasional (BN) apabila mencabar Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berundur daripada jawatan sekiranya gagal dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Kata Mohd Rafi, bagi menghadapi PRN kelak mana-mana parti tentunya mempunyai perancangan namun nampaknya Pas lebih suka mencampuri urusan lawan termasuk UMNO/BN bagi menentukan masa depan.

“Lebih baik pemimpin Pas atau mana-mana pemimpin parti lawan sekalipun tidak mencampuri urusan UMNO/BN dan Kerajaan Perpaduan kerana tentunya kami dalam parti kami lebih tahu yang terbaik berbanding mereka yang hanya tahu memecah-belahkan perpaduan,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam hal ini, Mohd Rafi tidak menolak kemungkinan kenyataan terbabit dibuat sebagai cubaan Pas untuk menumpang populariti Dr Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN.

“Kita lihat hari ini kerajaan kembali berfungsi dengan pentadbiran lancar hasil sokongan daripada UMNO/BN yang membentuk Kerajaan Perpaduan sedangkan Pas dan PPBM sebelum ini menolak titah Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“UMNO/BN melaksanakan amanah dan kebertanggungjawaban atas kepentingan rakyat dan masa hadapan negara malah keutamaan melihat kerajaan kembali berfungsi dengan sistem demokrasi yang menjadi pegangan tetap didukung.

“Sebaliknya yang berlaku kepada pihak lawan apabila hari ini mereka lebih sudu dari kuah melihat pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang lancar dengan Datuk Seri Ahmad Zahid berupaya membantu rakyat dalam pelbagai cara,” katanya.

Tegas Mohd Rafi, dalam mendepani politik dinamik masa kini dan menjelangnya PRN nanti, tentunya rakyat akan lebih bijak menilai berdasarkan situasi semasa.

“Janganlah nak memburuk-burukkan sebaliknya jika mereka benar-benar kuat dan mampu berdiri teguh maka buktikan dengan mampu melaksanakan amanah rakyat dalam apa juga keadaan sama ada bergelar kerajaan waima pembangkang kerana rakyat yang susah perlu bantuan.

“Tindakan menuduh UMNO/BN tunduk kepada Dap juga adalah satu kenyataan yang salah kerana sokongan yang diberi adalah bukan atas individu tetapi demi pengukuhan Kerajaan Perpaduan dengan pelaksaaan menggerakkan kerajaan bagi kesejahteraan rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.