Perkukuh Parti Masing-Masing Untuk Peroleh Sokongan Pengundi – Ahmad Zahid

GEORGE TOWN, 23 Mei – Parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu memperkukuhkan parti masing-masing bagi memperoleh sokongan daripada ahli serta pengundi-pengundi yang bukan ahli, kata pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri mengingatkan parti-parti komponen di bawah BN iaitu MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) agar terus memperkasa parti masing-masing sebagai teras di dalam BN.

“Yang penting adalah kerjasama dengan semua parti di dalam ‘outfit’ BN, itu prinsip yang pertama namun realiti politik baru di dalam Kerajaan Perpaduan, kita harus menyantuni keberadaan parti-parti dari kolaborasi ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Semicon Asia Tenggara 2023 di sini hari ini.

“Terdapat 19 parti yang berada di dalamnya. Saya tidak mahu mana-mana parti berkecil hati bila kita bekerjasama secara ‘smart partnership’ ini sebaliknya perkukuhkan parti masing-masing untuk memperoleh dukungan daripada ahli-ahli dan pengundi yang bukan ahli,” tambahnya.

Ahmad Zahid berkata demikian semasa ditanya mengenai kenyataan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon yang mengingatkan beliau supaya meletakkan kepentingan parti komponen dalam BN terlebih dahulu, bukannya mengutamakan PH, khasnya Dap.

Beliau berkata tumpuan kepada isu lama perlu dihentikan dan perlu fokus kepada pengukuhan parti untuk memberikan tanggapan yang positif kepada parti.

“Oleh demikian, memperkukuhkan parti masing-masing untuk pengembangan daya sokongan yang lebih tersebar luas itu lebih penting daripada melayani rasa kecil hati oleh mana-mana parti politik,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.