Pemukiman Penerangan UMNO: Azalina Harap Para Peserta Guna Ilmu Sebaiknya

KUALA LUMPUR, 23 Mei – Ketua Penerangan UMNO Malaysia merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berharap agar para peserta Pemukiman Penerangan UMNO Malaysia dapat mempelajari sesuatu dan menggunakannya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Ujarnya, pemukiman selama tiga hari di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU) ini bakal dibawa ke peringkat seterusnya di bawah jawatankuasa induk Kerajaan Madani ke negeri-negeri yang akan berhadapan PRN dan berfokuskan kepada persediaan penerangan.

“Pertama sekali saya nak ucap terima kasih kepada Pengurusan UMNO Malaysia kerana menyokong program ini terutama sekali Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden dan yang paling penting urus setia yang dilaksanakan oleh jawatankuasa daripada Penerangan UMNO Malaysia telah menjalankan pemukiman dengan sebaiknya.

“Tetapi apa yang lebih penting ialah kesan. Pertama, kita akan bawa pemukiman ini di peringkat jawatankuasa induk Kerajaan Madani. Kita akan buat pemukiman Penerangan Madani di enam negeri berfokuskan kepada persediaan penerangan.

“Saya akan berjumpa dengan pengerusi jawatankuasa induknya iaitu Menteri Komunikasi dan Multimedia, Fahmi Fadzil. Saya berharap Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dapat bekerjasama dalam beberapa langkah-langkah melalui resolusi yang dibawa pada penamatan pemukiman ini,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, penampilan hampir 73 peratus muka baharu ketua penerangan di peringkat bahagian dan negeri-negeri bakal menjadi satu budaya kepada komunikasi UMNO.

“Keduanya ialah kita tengok kiraan daripada presiden seramai 73 peratus Ketua Penerangan Bahagian dan negeri-negeri adalah muka baharu. Jadi, bagi saya ini ialah satu budaya yang akan memberikan kekuatan kepada komunikasi UMNO dan BNComms kerana media sosial ini banyak bertekan pada mata, telinga dan cita rasa orang muda.

“Bermakna PRN ini mungkin akan bertemakan banyak kepada kempen melalui media sosial. Daripada audit-audit yang telah dibentangkan dan perbincangkan banyak yang kita perlu perhalusi untuk memberikan pembaharuan. Ceramah secara bersemuka itu memang akan tetap diteruskan tetapi lebih kepada komunikasi kita secara strategik,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Azalina turut berharap agar semua perkara yang telah dipelajari oleh para peserta dapat digunakan sebaiknya di samping memberi fokus kepada isu-isu semasa,

“Jadi, Datuk Lokman Noor Adam Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia dan Datuk Seri Shabery Cheek pula telah diberi maklumat akan terlibat dalam PRN untuk persediaan Pengarah Komunikasi Strategik. Insya-Allah saya harap kombinasi kami bertiga ini akan memberikan satu kekuatan kepada komunikasi Madani dalam Kerajaan Perpaduan ini.

“Harapan saya, mereka mengambil semua yang telah diajar dan kita mesti tahulah seperti yang telah dibentangkan bahawa komunikasi ini sesuatu ongoing process di samping peka pada isu-isu.

“Tapi yang penting Presiden tekankan kita tidak boleh ada self promotion. Janganlah setakat kalau komunikasi untuk parti itu untuk diri kita sahaja sebab partilah yang meletakkan kita di situ. Jadi apabila kita buat gerakan komunikasi kita mesti menjual parti. Bukan menjual diri kita, jadi itu harapan saya,” katanya lagi.

Pemukiman Penerangan UMNO Malaysia yang diadakan selama tiga hari di ILMU, Janda Baik, Bentong berakhir pada 21 Mei lalu.

Diadakan bermula Jumaat, ianya disertai oleh pemimpin penerangan empat peringkat dikhususkan bagi enam negeri bagi menghadapi PRN. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.