Keharmonian Kaum Perlu Seimbang Dengan Kemajuan – Bung Moktar

MEMBAKUT, 22 Mei – Perpaduan kaum menjadi antara faktor penting untuk negara mencapai status negara maju selain kepesatan pembangunan dan ekonomi.

Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, keharmonian dan perpaduan kaum di negeri ini tidak boleh dipertikaikan walaupun memiliki lebih dari 33 etnik dengan pelbagai budaya, bahasa dan agama namun mereka boleh hidup bersatu dan harmoni.

Bagimanapun Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menambah keharmonian yang ada akan lebih bermakna dan bernilai jika rakyat di negeri ini hidup dalam keadaan yang lebih kondusif, menikmati persekitaran kehidupan yang lebih sempurna dengan pembangunan seimbang terutamanya dari segi kemudahan asas seperti sistem perhubungan jalan raya, bekalan air bersih, elektrik, ekonomi dan sebagainya.

“Dalam konteks perpaduan kaum kita tidak boleh pertikaikan namun dalam konteks kehidupan yang lebih harmoni dari sudut pembangunan kita masih jauh ketinggalan,“ katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Kimanis di dataran terbuka pekan Membakut baru-baru ini.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian yang juga Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin; wakil rakyat Membakut, Datuk Dr. Mohd Arifin Arif dan wakil rakyat Bongawan Dr Daud Yusuf.

Menurut Bung bagi mengwujudkan persekitaran yang lebih harmoni dalam aspek penyediaan pembangunan untuk kesejahteraan rakyat sudah tentu ianya menjadi tanggungjawab kerajaan yang memerintah hari ini .

“Rakyat sudah tentu melihat dan menilai pencapaian kerajaan bersama slogan ‘Sabah Maju Jaya’, kita (UMNO/BN) tidak boleh mengulas lanjut walaupun di peringkat pusat kita sebahagian dari kerajaan namun di peringkat negeri status kita adalah pembangkang jadi kalau diminta memberikan pandangan untuk kebaikan rakyat kami bersedia,” jelas Bung.

Bung menambah sudah pasti keharmonian kaum di negeri ini akan lebih bernilai jika ianya berjalan seiring dengan kemajuan yang dapat memberikan pulangan kesejahteraan kepada kehidupan rakyat.

“Keharmonian yang terhasil daripada perpaduan antara rakyat di negeri ini merupakan satu keistimewaan dan juga daya tarikan kepada pelabur asing untuk melabur di negara kita, bagaimanapun ianya tidak akan dapat dilaksanakan jika kita masih mundur dalam aspek pembangunan terutamanya kemudahan asas utama,” tambah Bung.

Menurut Bung lagi rakyat sudah tentu meletakkan harapan kepada kerajaan yang ada pada hari ini iaitu mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.