Lima Perkara Diberi Keutamaan Jika Kerajaan Perpaduan Ambil Alih Kedah – Ahmad Zahid

ALOR SETAR, 21 Mei – Lima perkara akan diberikan keutamaan di Kedah sekiranya gabungan parti Kerajaan Perpaduan mendapat peluang mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri seiring dengan kerajaan Persekutuan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata lima perkara itu melibatkan perniagaan agro; pendidikan maahad tahfiz; Pendidikan Latihan Teknik dan Vokasional (TVET); air dan telekomunikasi dalam usaha meningkatkan lagi keupayaan modal insan serta pembangunan negeri itu.

“Tumpuan kepada perniagaan agro dan ini bukan hanya soal keterjaminan makanan dan menjadikan Kedah terus sebagai negeri padi. Tetapi ialah keberhasilan produktiviti kepada usahawan-usahawan padi, keberhasilannya mesti dipertingkatkan.

“Untuk itu, MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) sudah pasti akan mencari metodologi atau kaedah baharu bagi mempertingkatkan keberhasilan…sawah padi harus dibela bukan hanya dengan soal harga padi, tetapi soal baja dan lain-lain bantuan,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Perpaduan Negeri Kedah di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah Datuk Mahfuz Omar dan Pengerusi BN Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Mengenai pendidikan maahad tahfiz pula, Ahmad Zahid berkata pelajar maahad tahfiz di Kedah akan dibantu untuk mereka mencapai taraf pendidikan yang lebih tinggi terutama dalam bidang TVET selain keupayaan mereka menguasai pembelajaran al-Quran.

“Saya telah sebutkan kerajaan Persekutuan komited untuk membantu semua maahad tahfiz tanpa meminggirkan sekolah Cina dan sekolah-sekolah yang lain. Kewajaran untuk membantu maahad tahfiz bukan hanya soal pembelajaran atau al-Quran tetapi menyalurkan (pelajar) mereka untuk berada di tingkat yang lebih tinggi.

“Maka UniKL (Universiti Kuala Lumpur) dan juga universiti lain di bawah KKDW (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah) komited untuk menyalurkan mereka untuk mendapat bukan sahaja diploma tetapi ijazah hingga ke peringkat PhD,” katanya yang turut memaklumkan setakat ini terdapat kira-kira 9,000 pelajar maahad tahfiz di Kedah.

Ahmad Zahid berkata ada juga maahad tahfiz di negeri itu yang masih belum berdaftar dan kerajaan akan berusaha membantu pihak maahad tahfiz itu membuat pendaftaran.

Sementara itu, beliau berkata tumpuan kepada TVET pula memfokuskan kepada usaha mewujudkan kolej TVET di bawah Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) manakala institusi TVET yang lain akan diperkukuhkan lagi.

“…daripada 1,291 institusi TVET di seluruh negara, kerajaan membelanjakan RM6.8 bilion, tentunya negeri Kedah jangan harus dipinggirkan…kita akan memperkasakan dengan beberapa penambahan program ataupun kita memberikan kursus atau program yang bersesuaian dengan kehendak pasaran guna tenaga,” katanya.

Mengenai air, Ahmad Zahid memberikan jaminan yang isu air untuk penggunaan domestik akan ditangani oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan manakala usaha meningkatkan kemudahan telekomunikasi di kawasan luar bandar dengan liputan rangkaian 5G akan turut diberikan penekanan.

“Saya telah memberikan penekanan agar kawasan luar bandar jangan pernah tertinggal dan dipinggir untuk mendapat liputan bagi 5G ini dan kita akan lakukan koordinasi khususnya di kawasan luar bandar, kawasan pemeriksaan, saya sendiri akan memantau. Jadi itulah azam kita apabila kita mengambil alih negeri Kedah nanti,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.