Kompeten, Pengalaman Pemimpin UMNO Anggotai Kabinet Bukti Parti Kekal Relevan

BENTONG, 21 Mei – UMNO kekal relevan dalam mendepani arus politik negara berbekalkan perjuangan yang didukung serta kompetensi dimiliki pemimpin parti, kata Ketua Puteri UMNO Bahagian Pengerang, Nurul Insyirah Abdul Hamid.

Jelas beliau, perkara tersebut makin membuka mata rakyat terutama anak muda apabila terbukti barisan kepimpinan utama parti yang menganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan adalah kompeten berbekalkan pengalaman luas dimiliki mereka.

“Dalam keadaan situasi sekarang membuka mata apabila kita berkerjasama dalam kerajaan dan menterinya juga adalah daripada parti kita.

“Rakyat juga anak muda boleh tengok, faham dan nilai prestasi pemimpin UMNO ini macam mana. Ini bukti bahawa UMNO ini boleh buat kerja, dengan pengalaman dimiliki ini menjadi asbab parti ini kekal relevan,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut berkenaan anak muda, beliau berkata strategi secara idealistik dilakukan pihaknya dalam mendekati golongan ini.

Menurut beliau ini penting dalam menyesuaikan aktiviti dengan keadaan setempat dan peredaran masa.

“Program anak muda sekarang kita tengok apa yang mereka minat dari situ kita ikut laksanakannya.

“Sebab itu cara yang kita boleh dekat dengan mereka, lakukan aktiviti sinonim dengan minat seperti sukan dan kegiatan hobi supaya mereka ini selesa dengan kita,” ujar beliau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim seusai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu mengumumkan enam pemimpin UMNO dilantik sebagai menteri.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.