Propa Sebut Angka Sertai Pas, UMNO Sudah Masak Cara Annuar Musa – Zawawi

PASIR PUTEH, 20 Mei – Ketua Penerangan UMNO Kelantan Datuk Zawawi Othman menganggap sidang media Tan Sri Annuar Musa hari ini sebagai ‘propa’ sebagaimana pihaknya sudah masak dengan cara ini.

Ujarnya, Annuar sepatutnya mengajak anaknya yang juga Ketua Pemuda UMNO Ketereh terlebih dahulu menyertai Pas sebelum berkempen orang lain mengikut jejak langkah beliau itu.

“Saya meneliti sidang media beliau (Annuar) sebentar tadi. Bagi saya tidak perlulah bersikap propa dengan sekadar menyebut sahaja angka-angka ahli UMNO yang akan menyertai Pas. Kita sudah masak dengan cara beliau ini.

“Orang luar akan melihat, kalau anak kandung beliau sendiri pun tidak meyakini tindakan ini, apatah lagi orang lain. Bak kata orang Kelantan ‘debek’ (lemah) benar kalau anak sendiri pun tidak ikut perjuangan ayahnya,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal terbabit.

Tegas Zawawi, ini pra-syarat penting untuk membuktikan keihklasan Annuar kerana mungkin juga Annuar ingin masuk untuk mencari tapak sebagai calon DUN dalam Pilihan Raya Negeri nanti.

“Saya juga ingin mengingatkan kepada Pas pun supaya berhati² dengan langkah Annuar Musa ini.

“UMNO telah masak dengan ragam dan perangai beliau ini. Silap haribulan Pas pula akan terjerat dengan ‘mind games’ beliau,” katanya lagi.

Terdahulu, Annuar mengesahkan sudah menghantar borang permohonan menyertai Pas bulan lalu bersama lebih 1,000 ahli UMNO lain. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.