Politik Khidmat Bakti Perlu Seiring Senario Semasa – Ahmad Shabery

BENTONG, 20 Mei – Politik khidmat bakti perlu seiring dengan perkembangan semasa termasuklah pembinaan naratif yang terbaik dalam usaha memastikan perjuangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) khususnya pembinaan negara bangsa berterusan.

Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 politik khidmat bakti tidak lagi menjadi tunjang kepada pola pemilihan oleh rakyat.

Sebaliknya jelas beliau mainan politik persepsi turut mempengaruhi pemikiran mereka biarpun politik khidmat bakti sekian lama dipraktikkan oleh BN.

“Era politik khidmat bakti sudah berubah… yang terkenal dengan politik khidmat bakti pun tewas pada PRU-14 gara-gara perang persepsi.

“Pelbagai persepsi dan naratif ditohmah kepada UMNO dan BN pada waktu itu dan akhirnya umum tahu bagaimana senario sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pemukiman Penerangan UMNO Malaysia di sini, hari ini.

Shabery seterusnya menambah, keadaan itu juga boleh dilihat pada PRU ke-15 yang lalu dengan pelbagai naratif sekali lagi ditujukan kepada pimpinan parti.

“PRU-15 pelbagai naratif yang mereka bina… undi BN itulah… inilah… ini antara era baharu yang terpaksa kita hadapi. Apa pun jaga pengundi dan kebajikan rakyat perlu disusuli dengan penceritaan.

“Kita perlu bina ‘story’ dan apa pun penceritaan amat penting. Mesti bersedia membina personaliti untuk kita maju ke depan,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.