Kenyataan Ahmad Maslan Perkukuh Kestabilan Politik Kerajaan Perpaduan Pada PRN

BENTONG, 20 Mei – Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam beranggapan bahawa kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan adalah benar dan bertepatan dengan kerjasama Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH) di enam buah negeri sempena Pilihan Raya Negeri (PRN).

Jelasnya, kenyataan Ahmad Maslan yang menyeru para pengundi turut memberikan sokongan kepada rakan-rakan Kerajaan Perpaduan pada PRN ini dilihat mampu untuk mengukuhkan lagi kestabilan politik negara.

“Apa yang Ahmad Maslan cakap itu betul. Beliau cakap, kita kena undi kawan-kawan yang berada dalam Kerajaan Perpaduan.

“Kalau kita lihat contohnya seperti di Selangor ada 56 kerusi. Katakanlah UMNO/BN bertanding 28 kerusi, manakala Pakatan PH juga bertanding 28 kerusi yang lain.

“Kalau para penyokong BN buat kempen untuk undi BN sahaja, apa yang akan jadi?” soalnya ketika menyampaikan ceramah sempena Pemukiman Penerangan UMNO yang berlangsung di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau turut menjelaskan kemungkinan yang bakal berlaku sekiranya terdapat ketegangan antara parti Kerajaan Perpaduan pada PRN kelak.

“Pertama sekali, kem PH juga ada di media sosial dan sekiranya mereka nampak orang BN boikot mereka, sudah semestinya mereka akan lakukan perkara yang sama.

“Kalau pun perkara ini tidak sampai di telinga mereka dan BN menang kesemua kerusi yang dipertandingkan. Bolehkah kita Bentuk kerajaan? Tidak boleh juga.

“Kalau kita menjalankan kempen agar tidak keluar mengundi, siapa yang untung? Perikatan Nasional (PN) juga untung,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Lokman Noor turut menegaskan pendirian beliau dan parti berkenaan isu kalimah Allah.

“Agama Islam ialah agama persekutuan manakala agama lain boleh diamalkan dengan aman damai. Agama Islam boleh disebarkan kepada bukan Islam tetapi agama bukan Islam tidak boleh disebarkan kepada orang Islam.

“Keputusan ini masih konsisten iaitu kalimah Allah, kalimah Baitullah, Mekah dan solat hanya khusus untuk umat Islam.

“Jadi, hari ini bukan Islam tidak boleh lagi guna kalimah Allah dan kalimah-kalimah yang disebutkan sebentar tadi. Memang tidak dibenarkan,” katanya lagi.

Semalam, media melaporkan bahawa pengundi UMNO/BN di enam negeri yang akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) diminta memangkah calon Dap di kawasan masing-masing demi mengukuhkan Kerajaan Perpaduan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, apabila ahli UMNO sudah berada di dalam Kerajaan Perpaduan, maka ahli hendaklah mengikut disiplin parti. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.