Kenal Pasti Medium Sesuai Zaman Digital, Santuni Dan Berhubung Dengan Rakyat

BENTONG, 20 Mei – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan menyarankan kepada jentera penerangan parti pada zaman digital ini agar mengenal pasti medium yang sesuai untuk menyantuni dan berhubung dengan masyarakat di luar sana.

Kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, sesuatu isu juga perlu ditangani dengan sebaik mungkin serta diterangkan kepada rakyat supaya mereka memahami fakta sebenar.

“Kita mesti sesuaikan diri kita, jangan ketinggalan dalam kita bersama-sama untuk berhubung dengan rakyat. Begitu juga dapat berkomunikasi dengan anak-anak muda bagi memahamkan mereka matlamat dan asas perjuangan parti.

“Seharusnya setiap tenaga penggerak parti terutama jentera penerangan mempunyai akaun media sosial yang berkaitan. Begitu juga isi kandungan mestilah bersesuaian dengan suasana tempatan, kreatif dan menarik minat rakyat,” kata beliau yang juga Menteri Pertahanan di Pemukiman Penerangan UMNO di ILMU, Janda Baik di sini, Jumaat malam.

Hadir sama Ahli Majlis Kerja Tertinggi merangkap Pengarah Komunikasi UMNO Datuk Lokman Noor Adam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang Datuk Suraya Yaacob dan barisan kepimpinan Penerangan UMNO negeri-negeri.

Mengulas mengenai penubuhan Kerajaan Perpaduan, Mohamad menekankan BN akur kepada titah Yang di-Pertuan Agong bahawa negara memerlukan sebuah kerajaan walaupun pada awalnya BN bersedia sebagai penyemak dan pengimbang kesan daripada keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Pertimbangan yang kita buat adalah kestabilan politik negara untuk kepentingan rakyat. Itulah juga tema kita bermula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor iaitu Kestabilan Demi Kemakmuran.

“Kita mesti bentuk kerajaan yang stabil untuk bangun semula terutama pasca COVID-19. Pelabur yakin kepada sebuah kerajaan yang stabil dari segi politiknya,” kata Ahli Parlimen Rembau itu. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.