Beri Undi Kepada 19 Parti Di Bawah Kerajaan Perpaduan – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 20 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengajak ahli parti untuk sama-sama mendukung parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan pada pilihan raya kelak.

Menerusi Twitter, beliau berkata seruan itu meliputi sokongan kepada 19 parti demi kepentingan dan kestabilan negara.

“Bukan (undi) atas nama Dap tapi atas nama Kerajaan Perpaduan. Ada 19 parti yang akan kelak bertanding. Semuanya sebumbung dalam #UnityGovernment.

“Maka ahli UMNO jika tidak suka Dap, undilah atas nama Kerajaan Perpaduan kerana kita ahli UMNO menjunjung setia titah SPB YDP #Agong,” katanya menerusi ciapan tersebut.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata ini kerana negara berada dalam dinamika politik baharu yang menuntut strategi segar demi manfaat kepada rakyat dan negara.

“Di kawasan UMNO/Barisan Nasional bertanding, ahli dan penyokong parti dalam Kerajaan Perpaduan akan sokong calon kita.

“Maka di kawasan yang parti-parti dalam Unity Government bertanding, perlu kita sokong pula calon parti mereka.

“Ini dinamika politik baru yang wajar kita lakukan utk kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri, Pilihan Raya Kecil dan Pilihan Raya Umum,” ujar beliau.

Ahmad berkata demikian dipercayai sebagai menjelaskan laporan media semalam berkenaan seruan beliau untuk mengajak ahli parti menyokong Dap pada pilihan raya akan datang. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.