Tiada Kompromi, UMNO Kekal Tegas Pertahan Kepentingan Agama Islam – SUA

 

GOMBAK, 18 Mei – UMNO tetap berprinsip dalam mendukung aspirasi perjuangan parti seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Katanya meskipun bersama dalam Kerajaan Perpaduan namun tiada kompromi yang akan diberikan sekiranya membabitkan Islam, kedudukan Raja-raja Melayu, bangsa, keistimewaan Bumiputera dan bahasa kebangsaan.

“UMNO dari segi konteks menjaga kepentingan Islam ini tidak pernah berkompromi walaupun kita membentuk Kerajaan Perpaduan.

“… kerana itulah perjanjian yang kita letakkan apabila kita bersetuju untuk membentuk sebahagian daripada kerajaan perpaduan, soal Islam, kepentingan Raja-raja Melayu, bangsa, keistimewaan Bumiputera, bahasa Melayu merupakan perkara paling asas dalam perjanjian yang kita meterai.

“Dalam konteks ini UMNO tidak akan teragak-agak untuk menyatakan pandangan kita secara tegas dan kepentingan agama islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya dan Program Laman Web Rasmi, Kompleks Industri MARA (KIM) di Batu Muda, di sini.

Dalam pada itu beliau juga turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan yang mengambil keputusan untuk memperkemas dasar pelaksanaan bagi memastikan kalimah Allah tidak mudah diperkotak-katikkan atau digunakan sebarangan.

Jelas beliau, ianya juga berkenaan cadangan dasar yang hendak dilaksanakan untuk memastikan kalimah Allah ini dipelihara akan dipersembahkan kepada majlis raja-raja.

“Itu yang terbaik kerana kita tahu dalam Perlembagaan, kuasa agama terletak di bawah Raja-raja Melayu adalah custodian Islam dan Melayu dalam konteks Perlembagaan.

“Jadi saya kira isu ini sebenarnya lebih kepada cara penglaporan media apabila dikatakan bahawa isu kalimah Allah ini ditarik balik jadi orang ingat apakah ini bertentangan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2014.

“Alhamdulilah, saya mengucapkan penghargaan kepada kerajaan kerana pantas bertindak menjernihkan salah faham dan persepsi yang timbul.

“Jadi daripada penjelasan, ditekankan jemaah menteri semalam saya ucapkan terima kasih kepada bagi pihak UMNO kerana inilah perkara yang kita perjuangan daripada dahulu,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.