Sukan SEA: Pendekatan Menyeluruh Perlu Diperlihat Semula, Kembalikan Kegemilangan Atlet Negara

KUALA LUMPUR, 18 Mei – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berpandangan prestasi merudum pasukan tanah air di temasya Sukan SEA di Cambodia adalah refleksi kelemahan ekosistem pembangunan sukan dan persediaan atlet.

Setiausahanya Hafiz Ariffin berkata dengan tidak berupaya mencapai sasaran 40 emas dan menduduki di tangga ketujuh ia semestinya satu tamparan hebat.

“Keputusan yang dicapai ini adalah cerminan kesan dari keputusan-keputusan dasar yang tidak efektif dari beberapa tahun lalu dan inilah hasilnya.

“Kecemerlangan dan kejayaan atlet dicapai bukan sehari, ia ambil masa yang panjang. Pelbagai aspek menjadi indikator yang perlu dibangunkan dan diusahakan bermula dari kecergasan fizikal, pembangunan kemahiran, keberkesanan jurulatih dan program latihan, sains nutrisi serta pemakanan serta pendedahan luar,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online.

Tambahnya lagi, prestasi tidak memberangsangkan ini menjadi cabaran besar buat kepimpinan Kementerian Belia dan Sukan yang baharu.

“Saranan kepada kerajaan adalah untuk segera melihat dan meniliti semula program-program pembangunan atlet dan pemfokusan terhadap sukan-sukan berpotensi.

“Berdasarkan unjuran bajet tahun 2023 sebanyak RM332 juta diperuntukkan. Jikalau dikira bajet tahunan selama tiga hingga lima tahun kebelakang secara kumulatif, saya percaya ia adalah satu jumlah yang signifikan.

“Yang dipersoal adalah sejauh mana keberkesanan perbelanjaan, ke mana dibelanjakan dan apa prioriti yang diberikan,” katanya lagi.

Jelas Hafiz lagi, jika bajet sentiasa menjadi alasan utama, beliau berfikiran banyak cara untuk menjalinkan kerjasama pintar di antara pihak swasta dan kerajaan antaranya mewujudkan insiatif sukan angkat iaitu satu industri/syarikat membantu bersama membangun satu sukan tumpuan.

Begitu juga katanya tatakelola yang baik dalam badan persatuan dan pengurusan sukan juga harus diteliti dan disemak supaya dasar, program dan dana yang disalurkan benar-benar dapat disambut oleh badan-badan yang dipertanggungjawabkan.

“Kadang-kadang bila duduk dengan rakan-rakan atlet mendengar keluh kesah mereka, sukar untuk mempercayai betapa mencabarnya mereka melaluinya.

“Pencapaian pingat adalah kesan akhir daripada seluruh ekosistem sukan. Oleh itu pendekatan menyeluruh perlu segera diperlihat semula,” ujar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sembrong itu.

Justeru kata Hafiz, pandangan yang dilemparkan ini adalah semata-mata mahu lihat sukan di tanah air ini maju dan berjaya.

“Saya percaya Malaysia tidak pernah ketandusan bakat, tetapi bagaimana bakat itu diasah dan dicorakkan.

“Prestasi tidak memberangsangkan ini semestinya tamparan besar. Semoga ia menjadi titik tolak untuk Malaysia bangkit dalam temasya-temasya mendatang,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.