Lawatan Kerja Ke Qatar, Pertingkat Jalinan Hubungan Pendidikan Tinggi Dua Hala – Mohamed Khaled

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Menteri Pengajian Tinggi merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah mengadakan lawatan ke Qatar bagi melakukan perbincangan berkisarkan hubungan pendidikan tinggi yang terjalin antara dua negara.

Jelasnya, lawatan kerja dimulakan dengan perjumpaan bersama Qatar Foundation dan Pertubuhan Al Thani berkisarkan mengenai penajaan dan bantuan pendidikan tinggi kepada pelarian serta pelajar dari negara berkonflik.

“Memulakan lawatan kerja ke Qatar dengan mengadakan perjumpaan dengan Qatar Foundation yang diwakili oleh Presiden Pendidikan Tinggi dan Penasihatnya En. Francisco J. Marmolejo dan dituruti perjumpaan dengan Dr. Ayedh Dabsan Al Qahtani, wakil kepada Pertubuhan AI Thani. Perbincangan berkisar kepada penajaan dan bantuan pendidikan tinggi kepada pelarian serta pelajar dari negara-negara yang berhadapan konflik.

“Malaysia bersedia menerima para pelajar tajaan kedua-dua organisasi ini memandangkan negara mempunyai 20 buah universiti awam dan 404 institusi pendidikan tinggi swasta yang terdiri daripada 57 universiti swasta, 10 kampus cawangan universiti luar negara, 34 kolej universiti dan 303 kolej.

“Turut bersama dalam pertemuan ialah Duta Malaysia ke Qatar, Tuan Yang Terutama Tuan Zamshari Shaharan, Datuk Dr Megat Sany, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datin Noorazah Omar, Bahagian Hubungan Antarabangsa KPT dan Dr Razak, Pengerusi Education Malaysia Global Services (EMGS),” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi turut mengadakan lawatan ke Kementerian Pendidikan dan Pendidikan Tinggi Qatar bagi mempertingkatkan lagi hubungan pendidikan tinggi yang sedia ada.

“Melakukan kunjungan hormat ke atas Tuan Yang Terutama Buthaina Binti Ali Al Jabr Al-Naumi, Menteri Pendidikan dan Pendidikan Tinggi Qatar bersama pegawai-pegawai kementeriannya.

“Perbincangan berkisar kepada mempertingkatkan lagi hubungan pendidikan tinggi yang sedia terjalin antara kedua-dua negara. Kedua-dua pihak bersetuju untuk adakan perbincangan lanjut bagi mewujudkan usahasama penyelidikan dalam bidang perubahan cuaca, keterjaminan makanan dan gangguan teknologi,” katanya lagi.

Ujarnya lagi, pertemuan ini juga turut berkisar tentang penawaran program Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan kerjasama antara beberapa universiti awam dengan Universiti Qatar.

“Pertemuan ini juga turut memaklumkan mengenai penawaran program UKM, perlaksanaan program Qatar Fund For Development dan kerjasama antara beberapa universiti awam Malaysia dengan Universiti Qatar.

“Tidak dapat dinafikan bahawa memang sedia terjalin hubungan rapat dan akrab antara Malaysia dan Qatar melalui sektor pendidikan tinggi,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.