Isu Baraj Rosak: SPAN Perlu Buka Kertas Siasatan, Lihat Secara Menyeluruh

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin melahirkan rasa syukur bekalan air di negeri berkenaan semakin pulih walaupun ada lagi beberapa kawasan yang terkesan.

Namun kata beliau igauan buruk ini tetap akan memberi kesan kepada rakyat dan 250,000 akaun di Kedah dan 4,000 akaun di Pulau Pinang terkesan akibat insiden ini.

“Syabas dan terima kasih banyak kepada agensi-agensi yang telah bertindak bagi menangani insiden ini. Namun pada hemat saya perkara ini tidak sekadar boleh dikekalkan sebagai satu “peristiwa” dan “igauan buruk”. Ianya tidak boleh sama sekali diulangi. Hakikatnya rakyat susah, industri lumpuh dan kegiatan ekonomi terkesan. Kalau kita buat anggaran kerugian akibat insiden ini sudah tentunya angkanya sangat mengerikan.

“Cadangan dan saranan saya. Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) perlu buka kertas siasatan dengan segera, bawa pihak yang bertanggungjawab akibat kecuaian ini. Bagi saya ini adalah satu kecuaian yang perlu dijawab dan diatasi dengan segera.

“Persoalannya, adakah sistem ini diselenggara dan dipantau secara berkala? Dan pada masa yang sama, kenapa tiada pihak yang menyedari bahawa pintu itu sudah terbuka sekian lama tanpa disedari oleh mana-mana pegawai atau juruteknik?,” katanya dalam satu kenyataan media kepada UMNO Online.

Kata beliau lagi yang juga Ketua Bahagian UMNO Merbok, pihak agensi berkaitan juga perlu tambah baik atau menukar sistem yang ada bagi mengelakkan malapetaka ini dan kerajaan perlu berbelanja untuk kesejahteraan rakyat serta tidak perlu berjimat untuk menjamin keperluan asas utama.

“Krisis ini membuktikan bahawa kerajaan negeri dan pusat perlu ada persefahamaan dan hubungan baik. Tiba-tiba Daerah Kuala Muda dibanjiri lori-lori air daripada Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan. Rupa-rupanya baru saya tahu bahawa di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu ada dimeterai satu perjanjian bahawa sekiranya berlaku krisis keperluan asas sebegini, negeri-negeri lain akan membantu.

“Krisis ini juga membuktikan bahawa kerajaan negeri tidak mampu selesaikan masalah secara “silo” ataupun persendirian. Kerjasama daripada Pusat sangat-sangat diperlukan. Oleh yang demikian, MB Kedah kena hentikan aktiviti “londeh-melondeh”, bersikap lebih tertib dan profesional,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.